Isnin, 15 Februari 2010

Polis buru ibu buang, bakar bayi dalam tong

SINAR HARIAN ONLINE


KOTA BHARU - Polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan dan mengesan suspek yang disyaki membuang dan membakar bayi lelaki seberat kira-kira dua kilogram dalam tong sampah di sebuah lorong, di Jalan Zainal Abidin, Kuala Krai, pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner: Mazlan Lazim berkata, berhubung kejadian berkenaan siasatan akan dijalankan mengikut Sek- syen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Menurutnya, pihaknya juga memohon kerjasama orang ramai yang ternampak seseorang membawa bungkusan dalam keadaan mencurigakan supaya menghubungi segera Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Krai, Asisten Superintendan Idris Man menerusi 09-9666222.

“Dalam kes ini kita juga mewujudkan satu pasukan untuk mengesan suspek bagi membantu siasatan berhubung pembuangan bayi lelaki yang dilahirkan hampir dua kilogram itu.

“Kita juga kini mengesan ibu kepada bayi terbabit yang melahirkan bayi ini dan menyerahkan kepada suspek sebelum dibuang dan dibakar dalam tong sampah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mazlan berkata, pihaknya memandang serius kes ini dan juga meminta mana-mana klinik swasta yang mengetahui sebarang maklumat supaya menyalurkan segera kepada polis untuk sebarang tindakan.

“Difahamkan, bayi berkenaan telah dilahirkan dua hari sebelum kejadian dan dibiarkan sehingga meninggal dunia.

“Bayi itu difahamkan dibawa oleh suspek dalam keadaan sudah meninggal dunia sebelum dibuang dan dibakar dalam tong sampah berkenaan,” katanya.

Bayi berkenaan dijumpai tiga pekerja Majlis Daerah Kuala Krai kira-kira jam 11 pagi kelmarin, ketika melakukan kerja memungut sampah di kawasan itu.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Kelantan, Datuk Zaid Wan Abdullah meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar menyediakan kemudahan di seluruh negeri itu untuk menempatkan bayi yang dilahirkan secara haram bagi mengelak daripada berlakunya kejadian pembuangan bayi secara berleluasa.

“Kes pembuangan dan pembunuhan bayi tidak berdosa semakin meruncing,” katanya kepada Bernama, semalam.

Menurutnya, pihak berkaitan juga perlu mengambil tindakan segera dengan mewujudkan lebih banyak tempat perlindungan kepada gadis-gadis yang bernasib malang bagi mengelakkan kejadian buang bayi tidak berulang.

Beliau yang kesal terhadap kejadian itu berkata mereka yang melakukan perbuatan itu tidak mematuhi ajaran agama Islam yang membatas hubungan antara lelaki dengan wanita sehingga menyebabkan berlakunya kejadian di luar batasan.

“Islam awal-awal lagi meletakkan hubungan lelaki dan perempuan ada batasnya, yang kita panggil aurat,” katanya.

Tiada ulasan: