Khamis, 18 Februari 2010

“Polis berat sebelah tangani demo anti Australia” - Bantah

Oleh Mohd Ali Bakri


KUALA LUMPUR : Gabungan mahasiswa bantah e-undi (Bantah) hari ini mengecam sekeras-kerasnya sikap berat sebelah polis berhubung isu perhimpunan haram yang diterajui menantu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin dan lain-lain pimpinan BN, Umno, di hadapan Kedutaan Australia baru-baru ini.

"Kami kecam sikap polis yang pilih bulu dalam menangani perhimpunan aman di negara ini. Kami kesal apabila polis bertindak mengikut kepentingan tertentu," kata Mohd Aizat Mohd Salleh dalam suatu kenyataan medianya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sikap polis yang menahan sembilan mahasiswa yang melakukan perhimpunan aman ketika menuntut ketelusan amalan demokrasi kampus di Kuala Lumpur dalam kejadian lalu atas alasan mengganggu lalu lintas dan ketenteraman awam.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin hari ini mengetuai lebih 500 ahli Pemuda BN, pertubuhan bukan kerajaan dan para penulis blog untuk berhimpun di hadapan Suruhanjaya Tinggi Australia, Kuala Lumpur, semalam bagi membantah campur tangan 50 ahli Parlimen Australia dalam sistem perundangan negara.

Turut serta dalam perhimpunan tanpa permit itu adalah Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim.

"Dalam demonstrasi anjuran Pemuda Umno di Kedutaan Australia semalam, tiada apa-apa tindakan pun yang diambil oleh walaupun tidak memohon permit daripada pihak polis.

"Apakah polis hanya alat kepada parti pemerintah? Jika ini berlaku, maka Malaysia menjadi negara autokrasi dan polis adalah alat digunakan dalam menangani hal-hal yang memenuhi hasrat parti pemerintah," kata Mohd Aizat lagi.

Polis, kata beliau, sepatutnya menjadi kelompok profesional dalam semua perkara, menjadi pelindung rakyat, dan golongan dipercayai rakyat, bukan sebaliknya.

Dalam perkembangan berkaitan, kelmarin, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia itu berada dalam keadaan terkawal.

Tambah beliau, kesemua wakil pertubuhan yang menyerahkan memorandum hari ini tidak memohon permit untuk mengadakan perhimpunan dan perarakan itu.

"Namun, tiada insiden yang luar biasa berlaku sepanjang perhimpunan kali ini dan polis tidak menahan mana-mana individu," katanya.

Tiada ulasan: