Khamis, 18 Februari 2010

Murugiah tidak tergugat hilang 3 pemimpin PPP

SINAR HARIAN ONLINE



JOHOR BAHRU - Pengerusi Pergerakan Kelab Barisan Nasional (BN) negeri Johor, Dr R Muruga mewakili pihak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah (gambar) tidak tergugat dengan kehilangan tiga pemimpin PPP yang telah menyertai dan berpihak kepada Datuk M Kayveas minggu lalu.

Beliau berkata, Kayveas tidak seharusnya memberikan sebarang kenyataan dan memperbesarkan isu penyertaan tiga daripada tujuh pemimpin PPP itu sebaliknya meminta beliau bersabar menunggu segala keputusan yang akan diputuskan Mahkamah Tinggi 1 Mac depan.

Muruga berkata, keputusan yang akan diputuskan mahkamah itu adalah berhubung dalam menentukan siapa Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) yang sah.

“Kami tetap berpihak kepada Murugiah dan tidak akan tergugat dengan pemergian tiga pemimpin ini yang telah menyertai pihak Kayveas. Kesemua mereka ini tiada integriti kerana setelah bersama kami akhirnya mereka berpaling tadah.

“Kami tidak perlukan orang sebegini untuk bersama kami oleh sebab itu kami tidak merasa rugi dengan pemergian mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.

Muruga yang juga mendakwa tidak faham dengan agenda yang cuba dimainkan Kayveas berkata, Murugiah :masih ada 210,000 penyokong dan tidak khuatir dengan tawaran yang cuba ditawarkan Kayveas terhadap penyokong Murugiah.

“Saya berpendapat, Kayveas risau dengan keputusan mahkamah yang akan diputuskan Mac depan sebab itu kini beliau cuba memujuk beberapa penyokong Murugiah untuk berpihak kepadanya,” katanya.

Tiada ulasan: