Rabu, 3 Februari 2010

Lebih 21 saksi akan dipanggil

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Lebih 21 orang saksi dijangka dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini.

Timbalan Ketua Pendakwaan (Polis), Datuk Nordin Hassan yang menganggotai pasukan pendakwaan ketika dihubungi memberitahu, saksi-saksi tersebut turut melibatkan beberapa doktor hospital kerajaan dan swasta serta dua ahli kimia.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai kesahihan khabar angin bahawa Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang juga pengadu kes berkenaan akan dipanggil sebagai saksi pertama.

Perbicaraan kes liwat itu sepatutnya bermula hari ini tetapi terpaksa ditangguhkan ke petang esok bagi membolehkan pihak pembelaan dan pendakwaan bertemu dengan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff di Putrajaya bagi memohon tarikh awal semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan, Jumaat lalu.

Sekiranya permohonan tersebut dibenarkan, ini bermakna perbicaraan akan ditangguhkan buat kali ketiga.

Semalam, beberapa akhbar melaporkan pihak pembelaan menyenaraikan 13 orang saksi alibi termasuk Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail.

Dr. Wan Azizah, menurut notis alibi yang dikemukakan melalui firma guaman Tetuan SN Nair dan Partners, dinamakan sebagai saksi alibi yang pertama.

Anwar yang didakwa pada 7 Ogos 2008 mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 hingga 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kini dibebaskan dengan jaminan RM20,000.

Tiada ulasan: