Jumaat, 19 Februari 2010

Kartika menghadap Tengku Abdullah 3 Mac?

Oleh ZAMZURINA AHMAD


KUANTAN – Bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Sukarno, 32, yang didapati bersalah kerana meminum arak dijangka menghadap Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah pada 3 Mac ini.

Menurut sumber Istana Abdulaziz di sini, pertemuan itu akan dibuat selepas Tengku Abdullah pulang dari luar negara tidak lama lagi.

‘‘Pertemuan tersebut tidak dapat dipastikan sama ada dilakukan secara tertutup atau terbuka kerana semuanya bergantung kepada keadaan pada masa itu,” katanya di sini hari ini.

Sehingga kini difahamkan lokasi dan masa pertemuan tersebut belum dapat dipastikan lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Manan Abdul Rahman berkata, pihaknya belum dimaklumkan mengenai pertemuan pada tarikh tersebut.

‘‘Saya tidak tahu mengenai tarikh pertemuan antara Tengku Mahkota Pahang dengan Kartika pada tarikh berkenaan.

‘‘Namun, kita tunggu dan lihat sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 13 Februari lalu, Kartika telah menghantar surat memohon menghadap Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi menyelesaikan masalah dihadapinya.

Bagaimanapun, kelmarin Abdul Manan memberitahu, pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika akan diputuskan selepas model sambilan itu menghadap Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Tiada ulasan: