Jumaat, 19 Februari 2010

JPJ kompaun 2,968 hasil Ops Sikap XXI

Oleh Johari Ibrahim


PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui operasi penyamaran anggotanya mengesan 2,968 pemandu yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang Ops Sikap XX1, termasuk 93 dikesan sendiri Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan ketika dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, kelmarin.

Semua mereka akan dipanggil untuk sesi temu siasat dan dikompaun mengikut kesalahan dilakukan.

Jumlah itu dijangka meningkat kerana operasi berkenaan hanya berakhir, Isnin ini dengan lebih banyak aduan dijangka diterima JPJ terutama hasil penyamaran 200 anggotanya.

Solah berkata, daripada 2,968 pesalah itu, 2,303 dikesan hasil penyamaran anggota JPJ; 524 melalui aduan kakitangannya; 93 oleh beliau sendiri, manakala 48 lagi adalah aduan orang awam.

Beliau berkata, JPJ menerima aduan bergambar lengkap dengan nombor pendaftaran kereta yang melakukan kesalahan di lebuh raya, jalan Persekutuan dan perbandaran dalam tempoh gerakan itu.

Katanya, notis untuk hadir sesi temu siasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dihantar kepada semua pemandu terbabit.

Mereka dikehendaki hadir di pejabat JPJ dalam tempoh 14 hari dan jika gagal berbuat demikian kenderaan mereka akan disenaraihitamkan.

"Pemandu terbabit akan dikenakan kompaun maksimum RM300 tanpa diskaun selain ditolak mata merit dalam Sistem Keselamatan Jalan Raya (Kejara)," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Ops Sikap XXI yang bermula 8 Februari akan berakhir Isnin ini.

Solah meminta orang awam supaya terus membantu mereka membanteras masalah pemandu yang enggan mematuhi peraturan.

“Rakamkan gambar kesalahan dan e-mel ke alamat aduan@jpj.gov.my atau hubungi 03-88866412 berserta butir penting seperti lokasi dan masa kejadian,” katanya.

Tiada ulasan: