Ahad, 21 Februari 2010

Imuda akhiri zaman duda

UTUSAN ONLINE


PULAU PINANG - Selepas hampir tujuh tahun menduda, pelawak dan pelukis terkenal, Imuda selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Zabarina Haja Mushadi Ali, 28, di Masjid Negeri di sini hari ini.

Majlis akad nikah yang disempurnakan Penolong Pendaftar Nikah Daerah Timur Laut, Mansor Taib itu disaksikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak kira- kira pukul 11 pagi.

Imuda atau nama sebenarnya, Abdul Rahim Muda, 50, sah bergelar suami kepada Zabarina yang merupakan seorang penolong pengurus sebuah bank di ibu negara, dengan sekali lafaz.

Pelawak yang cukup popular menerusi siri komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu serta 2+1, menikahi cinta hatinya itu dengan mas kahwin RM1,001 bersama RM22,222.22 sebagai wang hantaran beserta 9 berbalas 11 dulang hantaran.

Pada majlis itu, Imuda kelihatan tampan dan segak mengenakan sepasang baju Melayu berwarna putih, bersongkok dan bersamping manakala isterinya memakai baju kurung berwarna sedondon dan bertudung, tajaan Butik Jalinan Kasih.

Pasangan itu kemudiannya dirai pada satu majlis tertutup di Hotel Royal di sini.

Majlis persandingan mereka akan diadakan di Kompleks Tabung Haji di Bayan Lepas di sini, esok.

Mengimbau kembali perkenalan dengan isterinya, Imuda berkata, pertemuan bermula semasa dia membuat satu persembahan di sebuah hotel di Persiaran Gurney di sini empat tahun lalu.

"Pada mulanya kami berkenalan serta berkawan biasa. Dalam tempoh itu kami menjadi lebih rapat dan menyenangi antara satu sama lain sehingga membuat keputusan untuk berkahwin, katanya kepada pemberita selepas majlis akad nikah.

Tambahnya, dia gembira kerana mendapat seorang isteri penyabar, suka berterus-terang dan paling penting memahami kerjayanya sebagai individu yang dikenali ramai.

Bagi Zabarina pula, dia mula tertarik dengan Imuda kerana keunikan yang ada pelawak terkenal itu selain merupakan seorang yang kelakar dan mampu membuatnya sentiasa tersenyum.

Katanya, dia juga sudah bersedia untuk mengharungi cabaran hidup dengan seorang artis terkenal termasuk berhadapan gosip.

Imuda pernah mendirikan rumah tangga pada 1994 dengan Rozalina Rosli dan bercerai sepuluh tahun kemudian. Pada 23 Disember 2008 bekas isterinya itu meninggal dunia akibat barah payu dara.

Mereka dikurniakan sepasang anak iaitu Raihanah Abdul Rahim, 17, dan Mohd. Reza Abdul Rahim, 9.

Tiada ulasan: