Isnin, 1 Februari 2010

Huan nafi cuba pikat MP PKR masuk PCM


MALAYSIA KINI



Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan menafikan dakwaan bahawa beliau terbabit dalam usaha untuk 'memikat' beberapa ahli parlimen PKR supaya menyertai partinya.

Beliau menafikan demikian ketika diminta mengulas dakwaan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau telah menghubungi ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail melalui telefon bimbit.

Huan berkata, ini adalah kali pertama beliau menghubungi Azan, kerana ingin tahu apa yang berlaku kepadanya baru-baru ini.

Beliau juga turut menafikan telah memujuk ahli parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohd Hashim dan ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Mohd Yusuff supaya menyertai PCM.

Bagaimanapun, Huan mengakui bahawa beliau adalah 'kawan baik' kepada kedua-dua ahli parlimen PKR itu.

Malah, katanya, mereka sering berhubungan untuk 'minum teh'.

"(Bila) saya hubungi mereka, ia tidak bermakna yang saya meminta mereka masuk PCM.

"Begitu juga bila mereka menghubungi saya, ia (juga) tidak bermakna yang mereka meminta saya masuk PKR," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam satu sidang akhbar petang tadi, Anwar berkata, wujudnya usaha Umno untuk 'memikat' beberapa ahli parlimen parti itu, termasuk Azan.

Anwar berkata, usaha tersebut diketuai oleh bekas menteri kabinet, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis dan juga Huan yang menghubungi Azan melalui telefon bimbit.

Jelas ketua umum PKR itu lagi, usaha itu mengambarkan tawaran untuk Azan meninggalkan PKR dalam masa terdekat.

Katanya lagi, ahli parlimen Balik Pulau Yusmadi Mohd Yusuff (kiri) juga disahkan menerima pelawaan seperti itu.

Tiada ulasan: