Selasa, 23 Februari 2010

Gerak desak pulihkan integriti kehakiman

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak) berpendapat sistem perundangan negara yang lemah dan mudah dieksploitasi oleh sesetengah pihak dilihat memberikan impak negatif terhadap persepsi rakyat mahupun masyarakat luar terhadap Malaysia.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, Gerak menyatakan bahawa sebagai sebuah negara yang berdaulat, pemimpin negara perlu membuktikan bahawa sistem kehakiman di negara ini berjalan secara adil tanpa campur tangan pihak yang berkepentingan.

Pelbagai usaha reformasi telah dibuat semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada integriti kehakiman yang sudah tercemar sekian lama seperti penubuhan Suruhanjaya Kehakiman.

Justeru, Gerak Malaysia mendesak agar satu sidang khas Parlimen diwujudkan bagi membahas kedudukan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara.

Kenyataan itu menambah, sudah sampai masanya institusi kehakiman diletakkan di bawah kuasa Majlis Raja-raja ataupun Parlimen supaya dilihat sebagai satu kuasa yang bebas dan menjunjung pemisahan kuasa antara kehakiman dan eksekutif.

Sikap sesetengah pemimpin kerajaan yang dilihat sombong dan angkuh terhadap cadangan memperbaiki dan seterusnya memulihkan keyakinan rakyat terhadap Integriti Kehakiman Negara bakal memburukkan lagi indeks persepsi rasuah dan keyakinan pelabur untuk terus melabur di negara ini.

Gerak Malaysia juga menggesa agar semua pihak tanpa mengira fahaman politik mahupun agama perlu bersatu mempertahankan maruah negara sebagai sebuah negara yang berdaulat dan berperlembagaan serta menolak campur tangan pihak luar yang dilihat mempunyai agenda tersendiri.

“Gerak Malaysia tidak rela kedaulatan negara sekali lagi dijajah dan dirobek kuasa asing yang tidak tahu menghormati hak dan kebebasan negara lain,” ujar kenyataan itu.

Tiada ulasan: