Jumaat, 19 Februari 2010

13 lagi kematian dicatat

Oleh suffian abu bakar


KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 lagi kematian dicatatkan dalam Ops Sikap ke-21 dalam tempoh 24 jam semalam yang memasuki hari ke-11 sejak dilancarkan pada 7 Februari lalu.

Daripada angka itu, penunggang dan pembonceng motosikal masih mencatatkan kematian tertinggi iaitu seramai enam orang, diikuti empat pengguna motokar, pejalan kaki (2) dan seorang penunggang basikal.

Bilangan kematian yang dicatatkan itu menjadikan angka korban dalam Ops Sikap meningkat 168 orang.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, sebanyak 963 kemalangan dilaporkan berlaku di seluruh negara semalam.

Daripada jumlah itu, katanya, jalan bandaran merekodkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu 385 kes, diikuti 271 di jalan Persekutuan, jalan negeri (150), lebuh raya (100) dan jalan-jalan lain (57).

“Sepanjang tempoh 24 jam semalam, lima kematian masing-masing berlaku di jalan Persekutuan dan jalan-jalan lain, manakala dua kematian dicatatkan di jalan negeri serta satu kematian di lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 14,364 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan di seluruh negara semalam, meningkat berbanding 9,823 saman yang dikeluarkan kelmarin.

Ops Sikap ke-21 sempena sambutan Tahun Baru Cina akan berakhir pada Ahad ini.

Tiada ulasan: