Isnin, 8 Februari 2010

12 cadangan MIC untuk RMK-10

BERNAMA


KUALA LUMPUR - MIC akan mengemukakan 12 cadangan mengenai 'Agenda untuk Pembangunan' masyarakat India sebelum akhir bulan ini bagi dimasukkan dalam pelan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kata presiden parti, Datuk Seri S.Samy Vellu.

Menurutnya cadangan parti itu telah siap dan akan dibincangkan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Khamis ini sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

Menurutnya 12 cadangan itu dirangka oleh MIC dengan kerjasama 75 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan kaum India dan Jabatan Pengajian Etnik Universiti Malaya (UM).

“Kita telah menyediakan satu laporan komprehensif yang kita siapkan dalam masa lebih tiga bulan,” katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan sumbangan cek yang kesemuanya berjumlah RM4,125 daripada Institut Pembangunan Pelajaran Maju kepada 825 pelajar sekolah Tamil yang memperoleh 7A pada peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas, di sini hari ini. Setiap seorang pelajar berkenaan menerima sumbangan cek itu bernilai RM500.

Beliau berkata cadangan itu, antara lain, termasuk inisiatif khas untuk kaum India bagi tujuan pendidikan, ekonomi, latihan, perumahan, pekerjaan dan wanita.

Beliau berharap kerajaan akan mengkaji cadangan parti itu dan membuat penyelarasan yang perlu terhadap RMK-10 yang dijangka dibentangkan pada Parlimen Jun ini.

Tiada ulasan: