Ahad, 6 September 2009

SPR teliti tarikh pilihan raya DUN Bagan Pinang

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan akan diadakan selepas Perhimpunan Agung Khas Umno dan Deepavali.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, bagaimanapun berkata keputusan muktamad menentukan tarikh penamaan dan pengundian akan dibuat pada mesyuarat SPR, Ahad depan.

Katanya, SPR mengambil kira cuti umum dan peristiwa penting akan diadakan dalam negara sebelum menentukan tarikh sesuai mengadakan pilihan raya supaya tidak menimbulkan masalah kepada parti yang bertanding dan pengundi.

“SPR belum menerima surat makluman kekosongan DUN Bagan Pinang tetapi kita tetapkan awal untuk bermesyuarat pada 13 September ini bagi membincangkan tarikh penamaan dan pengundian pilihan raya kecil DUN berkenaan.

“Mungkin kita akan menerima notis kekosongan daripada Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Razak Mansor esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Notis makluman kekosongan DUN Bagan Pinang hanya boleh dihantar kepada SPR esok kerana semalam dan hari ini adalah cuti hujung minggu.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (HPS), kelmarin.

Azman, 54, kali pertama bertanding pada pilihan raya umum tahun lalu dengan mewakili Barisan Nasional (BN) mendapat 6,430 undi dengan majoriti 2,333 undi selepas menewaskan calon Pas, Ramli Ismail, 4,097 undi.

Mengikut Perlembagaan, pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari jika berlaku kekosongan pada sesebuah kerusi DUN dan SPR mempunyai masa sehingga 4 November depan untuk mengadakannya.

Jika ada pertandingan, pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang adalah yang kesembilan bakal diadakan sekali gus mencatat sejarah negara kerana berlaku pilihan raya kecil terbanyak pernah diadakan selepas pilihan raya umum pada 8 Mac 2008.

Antara peristiwa penting yang berlaku bulan depan ialah Perhimpunan Agung Khas Umno (13 hingga 16 Oktober), Deepavali (17 Oktober) dan Persidangan Ketiga bagi Penggal Kedua Dewan Rakyat bermula 19 Oktober.

Abdul Aziz berkata, berdasarkan kepada turutan peristiwa yang bakal berlaku itu, SPR perlu memilih tarikh paling sesuai dan memudahkan pegawai bertugas, parti bertanding dan pengundi untuk menghadapi pilihan raya kecil itu.

Namun katanya, SPR bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil berkenaan dan akan berusaha memastikannya berjalan lancar, aman dan selamat.

Tiada ulasan: