Ahad, 27 September 2009

Sebat Kartika sebelum Aidiladha

Oleh yusri sahat
dan m. shahrinnahar abd. latib


KUANTAN – Hukuman sebat ke atas seorang model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang bersalah minum arak di Pahang dua tahun lalu, mungkin dijalankan sebelum Hari Raya Aidiladha.

Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, bagaimanapun tarikh bagi pelaksanaan hukuman yang akan dijalankan di Penjara Kajang, Selangor itu belum ditentukan lagi.

“Tunggulah dahulu, sampai masa nanti kita akan lakukan hukuman tersebut," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 24 Ogos lalu, Kartika Sari Dewi sepatutnya dibawa ke Penjara Kajang, Selangor dari Ipoh bagi menjalani hukuman sebat kerana meminum arak tetapi ditangguhkan pada saat-saat akhir.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, Datuk Mohd. Sahfri Abdul Aziz memberi alasan hukuman itu tidak dapat dijalankan kerana menghormati bulan Ramadan.

Kes tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang menasihati Kartika Sari Dewi supaya merayu kepada Mahkamah Tinggi Syariah.

Menurut Najib, hukuman secara fizikal merupakan langkah terakhir dalam melaksanakan undang-undang jenayah syariah terhadap pesalah terutama wanita.

Sehubungan itu, Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman memberi jaminan akan mengkaji semula hukuman sebatan terhadap Kartika Sari Dewi.

Kartika Sari Dewi dijatuhi hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu selepas mengaku salah minum arak di sebuah pusat hiburan di sebuah hotel di Cherating, 11 Julai 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

Sementara itu, Abdul Hamid ketika dihubungi berkata, JAIP akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Penjara bagi menentukan tarikh dan lokasi hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi dalam masa terdekat ini.

Menurut beliau, perbincangan itu membabitkan Ketua Pendakwa Syarie dan Ketua Pendaftar Syarie JAIP dengan Jabatan Penjara.

“Bila dan di mana (hukuman sebat itu dijalankan) akan ditentukan selepas perbincangan antara ketiga-tiga pihak tersebut,'' katanya.

Abdul Hamid menjelaskan, perbincangan itu merupakan prosedur biasa selepas mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas pesalah.

Tiada ulasan: