Jumaat, 18 September 2009

Penunggang motosikal catat kematian tinggi

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Setelah empat hari dilancarkan, pengguna motosikal masih menjadi penyumbang utama kepada angka kematian dalam Ops Sikap Ke-20 sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Ini terbukti apabila daripada 12 kematian yang dicatatkan hari ini, sembilan daripadanya adalah pengguna kenderaan itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sehingga semalam, pengguna motosikal mencatatkan sebanyak 28 kematian daripada jumlah keseluruhan 44 kematian dalam Ops Sikap kali ini.

Daripada 12 kematian itu juga, selain pengguna motosikal, tiga yang maut ialah penunggang basikal dan dua pejalan kaki.

"Kadar kematian semalam turun satu berbanding 13 kematian yang dicatatkan pada hari ketiga kelmarin. Jumlah kemalangan pula menurun daripada 1,245 kelmarin kepada 1,222 kemalangan semalam.

"Daripada jumlah kemalangan tersebut, jalan bandaran merekodkan kes kemalangan paling banyak iaitu 597 kes, diikuti jalan Persekutuan (274), jalan negeri (185), lebuh raya (135) dan lain-lain jalan (31)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, sebanyak 4,477 notis POL257 yang ditandatangani sendiri oleh pesalah di tempat kejadian dikeluarkan kepada pengguna jalan raya semalam.

Bagi notis POL170A pula, seramai 8,139 pesalah dan notis diposkan kepada pengguna tetapi mereka hanya akan menikmati pengurangan 30 peratus apabila membuat pembayaran.

Jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan semalam ialah 12,616 kes.

Tiada ulasan: