Isnin, 7 September 2009

Pas dakwa undi pos 'ancaman' tawan kerusi

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, menyifatkan undi pos adalah ancaman utama kepada parti itu bagi merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan pada pilihan raya kecil kawasan itu nanti.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diharap lebih telus dalam mengendali undi pos kerana walaupun wakil parti dibenarkan memerhati proses pembuangan undi itu, namun tahap ketelusan masih diragui.

“Ia kerana anggota tentera yang membuang undi secara pos bukan saja menerima kertas undi, tetapi perlu melengkapkan satu borang khas yang mana ia perlu dikepilkan bersama dengan kertas undi sebelum dimasukkan ke dalam sampul surat.

“Pada borang itu pengundi perlu melengkapkan maklumat diri masing-masing dan ia akan membimbangkan anggota tentera untuk mengundi secara jujur sekiranya ingin memilih pembangkang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang akan diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Azman Mohd Noor, 54, akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (HPS).

Azman yang mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu menewaskan calon Pas, Ramli Ismail, dengan majoriti 2,333 undi. Beliau mendapat 6,430 undi berbanding lawannya 4,097 undi.

“Ancaman kita di sana adalah undi pos yang mana jumlahnya agak besar. Jika tidak disabitkan undi pos, Pas hanya tewas kepada BN pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti lebih 500 undi. Namun, ini adalah masa terbaik untuk Pas membuat lonjakan.

“Kawasan ini mempunyai kira-kira 5,000 anggota tentera yang mengundi secara pos, tentera sememangnya dilatih supaya patuh kepada ketuanya dan kita bimbang dengan adanya borang itu ia akan menakutkan mereka untuk memilih pembangkang,” katanya.

Oleh itu katanya, SPR perlu menghapuskan borang terbabit yang dianggap sudah tidak relevan lagi demi memastikan ketelusan dalam sistem pilihan raya. Proses pembuangan undi pos juga perlu sama dengan proses pembuangan undi bagi orang ramai.

Katanya, Pas tidak memandang mudah pilihan raya itu nanti dan meramalkan pertembungan sengit bakal berlaku kerana BN akan berusaha mempertahankan kerusi itu, bagaimanapun Pas sudah bersedia untuk menghadapinya.

Tiada ulasan: