Khamis, 17 September 2009

MIC Mahu Bawa Pulang Pengundi India Yang Tinggal Di Luar Bagan Pinang

BERNAMA


KUALA LUMPUR -- MIC mahu mengajak pulang 2,000 pengundi berdaftar India yang tinggal atau bekerja di luar kawasan dewan undangan negeri Bagan Pinang untuk kembali mengundi di kawasan pilihan raya kecil itu pada 11 Okt nanti.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata beliau telah mengetuai satu pasukan ke Bagan Pinang semalam, bagi membuat pemantauan dan mengumpul maklumat.

"Tugas utama kita ialah untuk membawa 2,000 pengundi India yang telah mendaftar sebagai pengundi di Bagan Pinang untuk pulang mengundi," kata Samy Vellu ketika dihubungi.

Beliau melawat empat kawasan yang didiami majoriti masyarakat India iaitu di Ladang Seliau, Ladang Arthurthen, Ladang Sua Betong dan Ladang Bradwall yang mewakili 1,890 daripada 2,600 pengundi berdaftar masyarakat India yang merupakan 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.

Beliau ditemani naib presiden Datuk Dr S. Subramaniam, yang juga Menteri Sumber Manusia dan Ketua MIC Negeri Sembilan Datuk T.Rajagopalu.

Samy Vellu berkata daripada survei parti itu, didapati 2,000 pengundi India tidak lagi menetap di Bagan Pinang tetapi tinggal di kawasan berhampiran sementara 40 peratus lagi tinngal dan bekerja di Seremban, Kuala Lumpur dan Johor Baharu.

MIC akan menggerakkan jentera pilihan raya yang diketuai timbalan presiden Datuk G.Palanivel.

Tiada ulasan: