Jumaat, 25 September 2009

Kebal sangatkah BN berbanding LDP Jepun?

Kelemahan dan kesilapan BN sepanjang 54 tahun memerintah jauh lebih melayakkan ia diturunkan dari tampuk kuasa berbanding LDP. Kalau rakyat Jepun boleh, mengapa Malaysia tidak boleh?

Oleh MAT ZAIN MAT ISA


Dalam pilihan raya umum Jepun 30 Ogos lalu, Parti Demokratik Jepun (DPJ) pimpinan Yukio Hatoyama berjaya menguasai parlimen, sekali gus menamatkan hegemoni kuasa Parti Liberal Demokratik (LDP) selama 54 tahun. DPJ dilaporkan memenangi 308 daripada 480 kerusi Dewan Rendah dan 117 daripada 240 kerusi Dewan Tinggi yang dipertandingkan.

Kemenangan itu menyaksikan peralihan arah undi sangat besar memandangkan sebelum Parlimen dibubarkan Julai lalu LDP menguasai 303 kerusi berbanding DPJ dengan hanya 112 kerusi. Keputusan dua minggu lalu membuka laluan kepada DPJ membentuk kerajaan baru menggantikan kerajaan LDP pimpinan Perdana Menteri, Taro Aso.

Bagi sebahagian rakyat negara ini, terutama khalayak Pakatan Rakyat, kejayaan sebuah parti pembangkang menumbangkan sebuah parti yang telah membina kekuatan sebegitu lama di tampuk kuasa adalah inspirasi amat bermakna.

Tidak syak lagi kemenangan bergaya DPJ itu bakal menyemarakkan lagi kebangkitan parti-parti pembangkang untuk menimpakan nasib serupa kepada Barisan Nasional (BN) selaku parti tua yang masih bergayut di dahan kuasa negara ini.

Satu keyakinan cuba dibentuk bahawa jika seramai 103 juta rakyat Jepun yang keluar mengundi dua minggu lalu sanggup menyingkirkan sebuah parti yang memerintah mereka sejak 1955, apalah sangat kebalnya BN sehinggakan rakyat negara ini masih mahu mengekalkan pemerintahannya yang seusia dengan LDP itu?

Apatah lagi sebab-musabab utama yang mendorong kejatuhan LDP itu banyak persamaan dengan punca kemuakan dan penolakan rakyat Malaysia terhadap BN mutakhir ini. Menurut beberapa analisa disiarkan media, punca utama kekalahan LDP antara lainnya ialah kerana pergolakan dalaman parti itu yang berpanjangan.

Sejak kegagalannya mendapat undian majoriti di Parlimen berhubung isu ekonomi pada 1993, parti itu terus bergolak sehingga menyebabkan kerap berlaku pertukaran pucuk pimpinannya.

Kegagalan LDP menangani isu-isu ekonomi melunturkan keyakinan rakyat Jepun terhadapnya. Kadar pengangguran yang tinggi, karenah birokrasi dan pembaziran dalam perbelanjaan negara antara yang mendorong penolakan rakyat negara itu terhadap LDP. Hakikat itu tidak begitu berbeza dengan negara kita.

Rakyat Jepun juga dikatakan yakin dengan langkah-langkah pemulihan ekonomi dan pembaikian hidup ditawarkan DPJ. Dalam kempennya parti itu memberi jaminan untuk meletakkan kepentingan orang awam lebih tinggi daripada mereka yang mempunyai perniagaan (tauke) serta kuasa birokrasi dan perniagaan besar (korporat).

LDP turut menjanjikan pemberian elaun tunai untuk membesarkan anak, pendidikan sekolah tinggi percuma, gaji pokok lebih tinggi, pemotongan cukai petrol dan menamatkan bayaran tol di lebuh raya.

Sebahagian agenda itu juga senada dengan apa yang kita dengar dilaungkan rakyat negara kita. Justeru, jika faktor dan dorongan itu mampu menumbangkan sebuah kuasa di Jepun, mengapa tidak di negara kita?

Apatah lagi BN bukan setakat berhadapan krisis keyakinan rakyat atas isu ekonomi seperti dihadapi LDP. Mutakhir ini BN bermasalah dalam hampir segala aspek, membabitkan isu agama, perkauman, politik dan sosial.

Wajar juga diingat betapa perbezaan dari segi pencapaian ekonomi LDP berbanding BN adalah ibarat langit dengan bumi. Di sebalik kepincangan dan kelemahan pemerintahan LDP, parti itu berjaya memartabatkan Jepun sebagai negara maju dan disegani dunia.

Jepun membangun dari sebuah negara yang hancur lumat ekoran perang menjadi kuasa terbesar ekonomi dunia. Jika kejayaan sebegitu besar pun tidak menjadikan LDP kebal di mata rakyat, apakah kekebalan yang ada pada BN?

Perbezaan juga sangat ketara antara kedua-dua parti pada sikap kebertanggungjawaban pemimpin masing-masing. Selama tempoh 54 tahun pemerintahan LDP, Jepun dipimpin 23 Perdana Menteri (PM). Bagi tempoh sama kekuasaan BN (sejak 1955 juga), Malaysia hanya dapat enam PM.

Tempoh khidmat setiap PM Jepun sangat pendek. Kebanyakannya tidak menjangkau tiga tahun. Tokoh paling lama menjadi PM ialah Eisaku Sato. Itu pun tidak sampai lapan tahun. Beliau berkhidmat antara 9 Nov 1964 hingga 7 Julai 1972 sebelum bersara.

Manakala khidmat paling singkat ialah oleh Sosuke Uno. Beliau hanya menjadi PM Jepun selama dua bulan dari 3 Jun hingga 10 Ogos 1989 sebelum mengundurkan diri.

Hanya seorang PM diganti kerana meninggal, dua dijatuhkan menerusi undi tidak percaya, manakala dua ditewaskan menerusi pilihan raya. Selebihnya sama ada mengambil keputusan bersara atau berundur secara terhormat apabila kepimpinannya mendatangkan masalah buat negara. Bandingkan saja dengan kedegilan para pemimpin BN bergayut di kerusi masing-masing?

Seperkara lagi, LDP tidak menggadai bahasa ibunda Jepun semata-mata demi mengejar kemajuan dan capaian teknologi. Tiada program mengajar anak-anak sekolahnya Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, sebaliknya orang Inggeris yang mahu belajar teknologinya yang mesti belajar bahasa Jepun.

Ertinya, kelemahan dan kesilapan BN sepanjang 54 tahun memerintah jauh lebih melayakkan ia diturunkan dari tampuk kuasa berbanding LDP. Kalau rakyat Jepun boleh, mengapa Malaysia tidak boleh?

Tiada ulasan: