Isnin, 14 September 2009

Jangan spekulasi siapa calon BN: Muhyiddin

BERITA HARIAN ONLINE


SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak mahu ada spekulasi siapa calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Sebaliknya, beliau mahu Badan Perhubungan BN Negeri Sembilan mengemukakan lebih ramai nama calon untuk pertimbangan.

"Jangan buat spekulasi siapa calon BN untuk pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang sehingga diputuskan pucuk pimpinan parti.

"Mereka belum lagi menghantar secara rasmi. Saya baru saja baca dalam surat khabar yang anda laporkan, kami belum terima senarai rasmi," katanya pada sidang media selepas melawat Pasar Tani Mega Shah Alam di sini, pagi tadi.

Muhyiddin berkata berkata keputusan mengenai calon BN akan diumumkan oleh pucuk pimpinan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon dan pilihan raya kecil itu nanti.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor, 54 daripada BN, akibat jangkitan kuman dalam darah.

Sebelum ini, dilaporkan semua 33 Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Teluk Kemang sebulat suara menamakan ketuanya yang juga bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu.

Isa pula dilaporkan sebagai berkata Umno Teluk Kemang akan mengikut amalan biasa dengan menyenaraikan tiga nama dan akan dihantar kepada pucuk pimpinan parti minggu depan.

Tiada ulasan: