Ahad, 27 September 2009

Hassan kemukakan laporan kepada Hadi

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali telah mengemukakan laporan terperinci kepada pucuk pimpinan tertinggi Pas ekoran kritikannya terhadap Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Ketua Penerangan Pas negeri, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, laporan itu dibuat berikutan pertemuan Dr. Hassan yang juga Pesuruhjaya Pas negeri dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Beliau berkata, pertemuan itu yang turut disertai Timbalan Presiden parti, Nasharuddin Md. Isa bertujuan menjelaskan maksud sebenar tindakan berkenaan.

"Walaupun kritikan beliau mewakili Pas Selangor, namun ia hanya kritikan biasa, tidak ada yang serius termasuklah keluar daripada pakatan pembangkang," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini berikutan tindakan Dr. Hassan mengkritik kaedah pelaksanaan siasatan Selcat yang mengaibkan pegawai kerajaan negeri secara terbuka selain mahu rombakan buat terhadap jawatan kuasa itu.

Dalam pada itu, Roslan ketika ditanya sama ada Dr. Hassan akan dikenakan tindakan disiplin memberitahu, perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat kepimpinan Pas pusat.

Bagaimanapun katanya, perkembangan lanjut mengenai kritikan berkenaan terpulang kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sama ada mahu menerima kritikan tersebut serta melakukan perubahan atau sebaliknya.

"Pas tidak ada bincang untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap beliau. Kita tunggu pengumuman daripada Menteri Besar," ujarnya.

Tiada ulasan: