Khamis, 17 September 2009

H1N1: Dua lagi kematian dicatat

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Seorang wanita berumur 45 tahun dan remaja perempuan berusia 19 tahun menjadi korban terbaru selesema babi atau influenza A (H1N1) selepas lima hari tiada kematian dilaporkan.

Ini menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan itu sebanyak 76 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, wanita berumur 45 tahun itu yang menghidap penyakit darah tinggi dimasukkan ke Hospital Tambunan di Sabah kerana demam, batuk dan selesema selama tiga hari.

"Mangsa meninggal dunia kerana komplikasi radang paru-paru setelah 10 hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan mendapat rawatan antiviral di Hospital Keningau.

"Kematian direkodkan sebagai serangan radang paru-paru dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan kes disahkan H1N1 melalui ujian makmal pada 19 Ogos lalu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Ismail berkata, kematian kedua melibatkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dari Bentong, Pahang yang telah dimasukkan ke Hospital Bentong kerana batuk selama lima hari dan demam sehari.

"Mangsa dirujuk terus ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan ICU setelah mengalami sesak nafas dan akhirnya meninggal dunia disebabkan oleh radang paru-paru kronik dengan jangkitan H1N1.

"Kedua-dua kematian dilaporkan kepada kementerian pada 10 September lalu setelah disahkan H1N1 melalui ujian makmal," katanya.

Beliau berkata, seramai 156 pesakit baru dengan gejala penyakit seperti influenza (ILI) dimasukkan ke hospital sementara seramai 189 pesakit dibenarkan keluar menjadikan baki yang sedang dirawat adalah 81 orang.

Katanya, terdapat 37 kes sedang dirawat di ICU ketika ini dengan empat kes adalah kemasukan baru.

Tiada ulasan: