Sabtu, 5 September 2009

Adun dilabel penentang MB sedia temui TPM

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA TERENGGANU: Kumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dilabel sebagai penentang kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bersedia bertemu dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menawarkan diri untuk mencari penyelesaian terhadap kemelut dalaman Umno Terengganu.

Bagaimanapun, mereka yang positif terhadap pelawaan Timbalan Perdana Menteri berharap pisang tidak berbuah dua kali, justeru mahu pucuk pimpinan tertinggi mengambil langkah proaktif dengan memastikan masalah berlarutan sejak lebih 18 bulan lalu diselesaikan terus, bukan hanya setakat mendengar.

"Sebenarnya beliau (Muhyiddin) tahu isu dan permasalahan ini. Jika itu kemahuannya, kita ikut, ..tetapi kita minta bukan setakat dengar masalah, sebaliknya perlu mengambil tindakan penyelesaian segera bagi memperkasakan semula parti.

"Kalau setakat nak dengar masalah lebih baik tidak payah buat. Kita sudah serik apabila (Datuk Seri) Hishammuddin (Hussein) panggil semua wakil rakyat meluahkan perasaan tidak puas hati (pada Mei lalu), tetapi bukan saja gagal menyelesaikan, sebaliknya memburukkan lagi keadaan," kata Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid yang juga bekas Setiausaha Perhubungan Umno negeri kepada Berita Harian.

Akhbar semalam melaporkan Muhyiddin mengakui kemelut dalaman Umno Terengganu mencapai tahap yang perlu diselesaikan segera sebelum menjadi lebih parah dan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam pertemuan Muhyiddin bersama kepemimpinan empat peringkat di Umno Hulu Terengganu, Kuala Berang, kelmarin sebahagian besar wakil rakyat antaranya Rosol; Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang). Empat Exco iaitu Datuk Mohamed Awang Tera (Chukai); Dr Abdul Rahman Mokhtar (Kuala Besut) dan Khazan Che Mat (Batu Rakit) juga tidak kelihatan.

Antara lain, kemelut dalaman Umno negeri dikatakan berpunca daripada tindakan Ahmad tidak melantik wakil rakyat sebagai Pengerusi Penyelaras DUN, sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada Ketua Umno bahagian yang turut diberi kuasa melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Mengulas tindakan sebahagian besar Adun yang tidak hadir dalam pertemuan itu, Rosol berkata, ia bukan kerana tidak menghormati kepemimpinan tertinggi negara, tetapi tiada semangat untuk turut serta selepas diperlekehkan kepemimpinan negeri yang membelakangkan peranan wakil rakyat.

Sementara itu Idris ketika dihubungi pula berkata, beliau tidak menghadiri majlis itu kerana ada program lain yang diputuskan terlebih awal.

Tiada ulasan: