Rabu, 9 September 2009

15 pakar perubatan awasi H1N1

BERNAMA


PETALING JAYA - Kementerian Kesihatan melantik 15 pakar kanan perubatan untuk mengawasi rawatan Influenza A (H1N1) di hospital dalam usaha membendung penularan pandemik itu di negara.

Menteri Kesihatan. Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pakar kanan perubatan itu dilantik minggu lalu dan setiap mereka diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan satu negeri.

“Pakar itu dikenali sebagai 'Jaguh H1N1' diberikan tugas melawat hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di negeri yang dikendalikan dan memberi nasihat cara-cara memperbaiki rawatan kepada pesakit,” katanya kepada pemberita selepas menutup Bengkel Influenza A untuk Pengamal Media di sini, semalam.

Beliau berkata, mereka juga akan menemui masyarakat tempatan untuk meningkatkan kesedarannya dan cara-cara untuk membendung pandemik tersebut.

“Mereka adalah pakar kanan yang dihormati oleh pegawainya. Mereka akan pergi ke hospital dan klinik kerajaan dan swasta di negeri berkenaan, melihat keadaan ICU dan menasihatkan doktor dan melihat bagaimana doktor memberikan rawatan paling baik kepada pesakit,” kata beliau.

Ting Lai berkata, bilangan pakar yang dilantik itu akan ditambah dari masa ke semasa bergantung pada keperluan.

“Kementerian itu juga menumpukan pengukuhan terhadap rawatan pesakit ICU kerana ia boleh membantu mengurangkan kadar kematian H1N1, dan ini sangat penting disebabkan sesetengah pesakit itu boleh mendapat jangkitan lain selepas pulih daripada H1N1 akibat sistem imuniti yang rendah,” katanya.

Sebuah Jawatanakuasa :Semakan Mortaliti juga ditubuhkan di bawah nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menyiasat punca kematian sebelum diklasifikasikan sebagai ia berkaitan H1N1.

Dalam perkembangan lain, Liow juga melahirkan kebimbangan kementeriannya pada cuti Hari Raya Aidilfitri yang panjang kerana pergerakan manusia yang banyak, yang mungkin menyebabkan peningkatan jangkitan Influenza A (H1N1) dengan mendadak.

Beliau berkata, bilangan simptom influenza-like illness (ILI) dan jangkitan H1N1 dijangka meningkat, sehubungan itu beliau menyeru orang ramai meningkatkan tahap kebersihan diri bagi mengelakkan jangkitan.

“Kita bimbang dengan ini. Orang ramai mesti patuh dengan nasihat kementerian dalam mengambil langkah berjaga-jaga apabila berada di kawasan awam.

“Mereka mesti pakai penutup mulut dan hidung dan gunakan pembasuh tangan, dan sangat waspada mengenai kesihatan mereka dan jika mereka ada sebarang simptom ILI, mereka mesti elak berada di tempat sesak dan jumpa doktor segera,” kata beliau.

Tiong Lai turut menggesa lebih banyak entiti swasta, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan tampil untuk menyumbangkan penutup mulut dan hidung serta pembersih tangan untuk orang ramai.

Setakat ini, pandemik itu mengorbankan 73 nyawa di negara ini.

Tiada ulasan: