Jumaat, 21 Ogos 2009

Umno Tertomoh Di Permatang Pasir

Oleh darmasatria


Isu Rohaizat pecah amanah tidak dapat ditutup lagi oleh UMNO. Kini sudah jelas dia yang bersalah, bukan rakan kongsinya. Usaha Zahid Hamidi untuk membersihkannya tidak akan berjaya. Usaha Muhyiddin untuk membantu menjulang namanya tidak berguna lagi. Usaha Ahmad Maslan memberi taraf 'wira' kepada Rohaizat tidak memberi apa-apa kesan pun kepada pengundi, kecuali penyokong UMNO yang totok.

Yusri Isahak( rakan kongsi calon UMNO itu ) telah tampil dengan bukti-bukti dia telah dikambinghitamkan dalam kes penarikan lesen guaman Rohaizat kerana pecah amanah.Hakikatnya, Rohaizat yang pecah amanah. Rakan kongsinya tidak bersalah.

Perkara itu telah dijelaskan oleh Majlis Peguam dalam bahasa yang sangat mudah untuk difahami. Apabila Muhyiddin, Zahid Hamidi dan Ahmad Maslan cuba menidakkannya pemilih di Permatang Pasir yang akan mengundi dan rakyat seluruh Malaysia yang sedang mengikuti dengan teliti perjalanan PRK itu menyampah dengan mentaliti berkarat mereka.

UMNO telah tersalah pilih. Mungkin disebabkan sabotaj. Tak kisahlah kalau ada sebab lain sekalipun, yang penting ramai Ketua Cawangan UMNO di Permatang Pasir tidak setuju dengan pilihan itu. Sebelum memilih Rohaizat, sudah pasti pemimpin-pemimpin UMNO beranggapan tiada orang yang tahu pekung itu atau menganggap perkara itu sesuatu yang remeh.

Apabila pekung sudah pecah, harapan untuk Rohaizat menerima sokongan padu pengundi hancur-lebur. Terlalu sukar untuk UMNO membersihkan imej Rohaizat yang tercalar teruk.

Pada masa ini, rakyat menerima pernyataan PR dan beberapa orang veteran UMNO tentang ketandusan pemimpin berwibawa dalam parti itu. Rohaizat sekadar mengesahkan laungan PR selama ini mengenai sikap buruk yang diamalkan oleh UMNO, iaitu rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, dan sebagainya.

Muhyiddin cuba menjadi hero dalam kes ini. Rohaizat akan memberi kenyataan bersumpah untuk menutup mulut semua pihak yang mencemuhnya. Tindakan terdesak ini amat tidak bijak. Rakyat sudah maklum hampir semua pemimpin UMNO tergolong dalam kategori itu.

Bila nasi sudah menjadi bubur, segala-galanya tidak berguna lagi. UMNO perlu menerima hakikat bahawa sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Sudah terlalu lama UMNO bermain sandiwara. Kini, Allah menunjukkan kepada rakyat belang sebenar UMNO. Tempat yang dipilih pula N11 Permatang Pasir.
Pada masa yang sama, Muhyiddin sendiri sedang digodam. Dia menuduh DS Anwar pengkhianat. Tuduhan tersebut dikembalikan kepadanya.

Pengkhianat sebenar ialah Muhyiddin kerana telah menyalahgunakan harta kerajaan untuk kepentingan parti. Ketika menjadi MB Johor, Muhyiddin telah menggadaikan 51,170 hektar tanah kepada kerajaan Singapura dengan pulangan wang sebanyak RM350 juta. Perkara ini telah didedahkan oleh bekas Setiausaha UMNO, Saudara Osman dan turut diumumkan dalam ceramah Ibrahim Ali di Kuala Nerus, Terengganu pada tahun 2006.

Dalam ceramah di Tanjung Putus sempena kempen PRK DUN Permatang Pasir Muhyiddin berkata, "Saya ingin menjelaskan bahawa saya (semasa menjadi MB Johor) tidak pernah menjual tanah walau seinci pun kepada Singapura dan ini adalah fitnah semata-mata."

Anda lihatlah sendiri bahagian yang diboldkan dalam tuduhan dengan bahagian yang diboldkan dalam jawapan. Pemimpin UMNO dengan akhbar yang mereka kuasai sama sahaja, iaitu pembelit fakta. Orang tuduh lain, jawapannya lain. Jika Osman dan Ibrahim Ali yang menjadi sumber maklumat ini berbohong/memfitnah, Muhyiddin wajib menyeret kedua-duanya ke mahkamah untuk membersihkan nama dan maruah dirinya, bukan menyalak serta menyalahi para pemimpin PR.

Berbekalkan semua langkah kiri itu, dapatkah UMNO menghalang tanggapan negatif pengundi-pengundi terhadap mereka dalam situasi tersebut? UMNO sendiri yang meletakkan diri mereka dalam keadaan itu, bukan orang lain.

Kalau Muhyiddin sendiri terpalit dengan amalan khianat terhadap bangsa sendiri, bagaimana dia sebagai Pengarah Pilihan Raya N11 Permatang Pasir bagi mewakili BN 'membersihkan' Rohaizat yang pecah amanah? Kedua-duanya 2 x 5 sahaja.

Rakan kongsi Rohaizat, Yusri Isahak telah menceritakan kedudukannya yang dikambinghitamkan dalam kes pecah amanah itu. Rohaizat telah menggunakan wang pelanggan untuk tujuan lain, kemudian tersangkut, tidak mampu memulangkannya kepada pelanggan, dan tidak menghadiri perbicaraan dengan Majlis Peguam untuk membela diri. Rohaizat seorang peguam yang tidak amanah dan pengecut, bukan 'wira' seperti yang dilabelkan Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO.

Tiada harapan lagi untuk UMNO memulihkan keadaan. Keputusan yang dibuat oleh Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang itu ternyata tersasar jauh dan mengundang masalah, bukannya menyelesaikan masalah!Walau bagaimanapun, berani buat beranilah tanggung.

Tiada ulasan: