Rabu, 12 Ogos 2009

Tengku Puan Pahang, lima anakandanya kian pulih

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan lima anakanda baginda yang dimasukkan ke hospital selepas disahkan dijangkiti selesema babi atau influenza A (H1N1) kini semakin pulih.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, baginda sekeluarga yang ditempatkan di Wad Diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini bagaimanapun masih dalam pengawasan pihak hospital.

''Baginda sekeluarga kini sedang berehat dan diberikan antiviral,'' katanya kepada pemberita di pejabatnya di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Tunku Azizah Aminah Maimunah dan lima anakanda baginda dimasukkan ke HTAA kerana dijangkiti H1N1, Sabtu lalu.

Kelima-lima anakanda baginda iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 14, Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah, 12, pasangan kembar Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, 9, serta Tengku Puteri Jihan Khalsom Athiyatullah, 7, dimasukkan ke hospital sama, Jumaat lalu.

Keluarga baginda dipercayai dijangkiti virus itu daripada anakandanya, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah yang mendapat jangkitan di Sekolah Kebangsaan St. Thomas, di sini.

Khai Mun seterusnya berkata, pihak hospital masih mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan baginda sekeluarga benar-benar pulih sebelum dibenarkan keluar hospital.

Beliau turut meminta rakyat tidak bimbang dengan tahap kesihatan baginda kerana keluarga diraja itu diberi perhatian sepenuhnya oleh pihak hospital.

Sementara itu, Tunku Azizah Aminah Maimunah ketika dihubungi memberitahu, baginda dan anakandanya berada dalam keadaan baik kecuali Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah.

''Kami diberikan antiviral tetapi keadaan Tengku Muhammad agak membimbangkan kerana menghidap penyakit pneumonia,'' titah baginda.

Baginda seterusnya mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital dan kakitangannya yang menjaga baginda sekeluarga dengan baik.

Tunku Azizah Aminah Maimunah memberitahu, baginda difahamkan doktor yang merawatnya sekeluarga juga didapati positif H1N1.

Baginda berharap kerajaan dan rakyat lebih serius menangani wabak itu yang kini mengorbankan banyak nyawa di negara ini.

Tiada ulasan: