Jumaat, 7 Ogos 2009

Tak maklum kes berpunca bunuh

BERITA HARIAN ONLINE


SHAH ALAM: Mahkamah Koroner semalam diberitahu, pegawai penyiasat kes kematian Teoh Beng Hock tidak pernah memaklumkan kepada seorang ahli kimia bahawa kejadian lelaki itu mati berpunca daripada pembunuhan.

Saksi kesembilan, Pegawai Sains di Seksyen Serologi dan DNA, Bahagian Forensik, Jabatan Kimia, Dr Seah Lay Hong, berkata Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal, memberitahunya kematian lelaki itu mungkin berpunca daripada kemalangan atau sebaliknya.

Dr Seah berkata demikian ketika ditanya peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, adakah Ahmad Nazri tidak memaklumkan kepadanya kejadian lelaki itu jatuh kerana dibunuh.

“Beliau tidak mengatakan seperti itu. Beliau tidak mengatakan dibunuh," katanya pada inkues di depan Koroner Azmil Muntapha Abas, semalam.

Menjawab soalan peguam mewakili Kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan, Dr Seah berkata Ahmad Nazri ada memberitahunya mendiang disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum lelaki itu terjatuh dan ia mungkin kejadian bunuh diri.

Apabila ditanya Gobind kemungkinan lelaki itu dipegang pada tali pinggang yang dipakainya dari tempat tinggi dan tali pinggang itu terputus, katanya, soalan itu spekulasi tetapi ia satu kemungkinan.

Sementara itu, timbul suasana tegang pada prosiding inkues di sesi petang apabila peguam Gobind terus mengasak Dr Seah dengan menanya pelbagai soalan berhubung DNA.

Walaupun Azmil cuba mencelah dengan meminta Gobind memahami apa yang diberitahu ahli kimia itu, Gobind tetap bertegas untuk mengajukan soalan.

Pada awalnya Gobind mempertikai mengapa Dr Seah tidak melakukan calitan pada semua bahagian di seluar panjang, kemeja T, tali pinggang, seluar dalam dan jaket milik Teoh kerana beranggapan ia penting bagi mendapatkan keputusan lebih baik.

Dr Seah menjawab tidak semua eksibit itu mempunyai kawasan kontak dan DNA tidak akan diambil pada bahagian yang mempunyai kesan darah.

Saksi itu sesekali menempelak Gobind supaya memahami kerja seorang saintis dan memberitahu Gobind beliau tahu apa yang perlu dibuat atau sebaliknya ke atas eksibit yang diserahkan oleh pegawai penyiasat.

Selain itu Gobind turut mempersoal mengapa Dr Seah tidak meminta gambar keadaan mayat Teoh bagi memudahkannya menganalisis. Bagaimanapun Seah berkata ia tidak perlu.

Sebelum itu, Dr Seah memberitahu mahkamah hasil analisis yang dijalankan pada 18 eksibit yang diterimanya, beliau memperoleh gabungan DNA Teoh dan satu lelaki tidak dikenali (Male 1) pada bahagian belakang luar kot hitam serta gabungan DNA Teoh, Male 1 dan sekurang-kurangnya satu DNA lelaki tidak diketahui pada bahagian tali pinggang yang terkoyak.

Katanya, hasil analisis perbandingan DNA daripada 157 individu dengan profil DNA Male 1 juga tidak menemui sebarang padanan serta tidak satupun sampel berkenaan adalah penyumbang kepada DNA sekurang-kurangnya seorang lelaki yang ditemui pada koyakan di tali pinggang yang dianalisis.

Prosiding inkues itu turut mendengar keterangan ahli kimia, Saiful Fazamil Mohd Ali yang memberitahu beliau menerima tujuh eksibit termasuk sepasang seluar, skru, rantai jam tangan, dan sebahagian kunci tingkap.

Azmil bersama semua yang terbabit dalam inkues itu melawat ke tempat kejadian Plaza Masalam, apabila prosiding bersambung hari ini.

Tiada ulasan: