Isnin, 10 Ogos 2009

Mayat mungkin rakan Noordin

Isteri, anak suspek pengganas beri sampel sahkan DNA

LAPORAN AGENSI


JAKARTA: Mayat yang diambil selepas kejadian tembak menembak di Indonesia berkemungkinan mengesahkannya bukan suspek pengganas yang menjadi dalang serangan dua hotel di Jakarta, selain disyaki merancang pembunuhan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, kata sumber polis kepada Al Jazeera, semalam.

Sumber berkata, mayat itu ialah rakan Noordin M Top dan ujian DNA sedang dilakukan bagi mengesahkan identitinya.

"Ujian DNA memerlukan masa tiga hari dan mayat itu dihantar untuk pemeriksaan kelmarin.

"Itu ialah mayat pengganas. Persoalannya cuma betulkah ia Noordin atau tidak. Jika bukan, polis masih mencapai kejayaan kerana serbuan di rumah itu mendapati ada bahan letupan dan militan," kata penasihat Susilo, Dino Djalal.

Seorang lagi penasihat kerajaan, Dynno Chressbon, berkata isteri dan anak Noordin dalam perjalanan ke Jakarta untuk memberi sampel membantu proses pengesahan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, polis juga mengeluarkan kenyataan ia memerlukan masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk mengesahkan mayat.
ORANG ramai melihat tempat persembunyian suspek pengganas di Kampung Beji, Jawa Tengah.

"Ujian DNA mengambil masa dua minggu. Itu adalah prosedur standard," kata jurucakap polis kebangsaan, Nanan Sorkarna.

"Ujian dijalankan di hospital polis Kramat Jati," katanya merujuk hospital di Jakarta menempatkan mayat dipercayai Noordin yang dibawa selepas berakhir kejadian berbalas tembakan selama 17 jam di sebuah rumah, di Jawa Tengah.

Serangan berkenaan berakhir pagi kelmarin selepas pasukan antipengganas yang mendapat latihan Amerika Syarikat mengepung tempat persembunyian suspek dari kawasan bukit berhampiran.

Noordin, 40, disalahkan dalam pelbagai serangan ganas terhadap beberapa sasaran Barat di Indonesia yang membunuh 50 mangsa dan mencederakan beratus-ratus orang sejak 2003.
ANGGOTA keselamatan mengangkat keranda suspek pengganas ketika tiba di hospital Jakarta.

Kejadian terbaru dipercayai pada 17 Julai lalu apabila serangan bom bunuh diri berkembar dilakukan terhadap Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di ibu negara itu yang membunuh tujuh orang termasuk enam rakyat asing selain dua pengebom bunuh diri.

"Noordin juga merancang serangan bunuh diri menggunakan bom kereta terhadap kediaman Susilo bersama militan lain," kata Ketua Polis Indonesia, Bambang Hendarso Danuri.

Beliau berkata, keputusan menyerang Susilo dibuat pada mesyuarat 20 April lalu diketuai Noordin kerana keputusan kerajaan menjatuhkan hukuman bunuh terhadap tiga pengebom Bali, Imam Samudra, Amrozi dan Ali Ghufron.

Susilo memberitahu, beliau dimaklumkan mengenai operasi untuk meneruskan undang-undang dan menghukum pengganas tetapi tidak menyebut mengenai Noordin.

"Saya mengucapkan terima kasih dan menghormati polis atas kecemerlangan mereka dalam operasi ini," katanya.

Noordin juga disyaki merancang serangan di Hotel JW Marriott dan Rits-Carlton di Jakarta yang membunuh tujuh orang dan menamatkan tempoh empat tahun tiada serangan di Indonesia.

Noordin mengelak daripada buruan sejak hampir tujuh tahun lalu walaupun operasi besar-besaran dijalankan oleh pihak berkuasa Indonesia yang sudah menahan lebih 200 suspek militan.

Tiada ulasan: