Ahad, 9 Ogos 2009

Larangan umrah tindakan pelik

UTUSAN ONLINE


KUALA KUBU BHARU - Langkah Iran melarang umat Islam mengerjakan umrah di Arab Saudi kerana bimbang penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) suatu tindakan yang pelik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom berkata, larangan itu aneh kerana langkah sama tidak dikenakan terhadap mereka yang melawat negara lain yang disahkan berlaku penularan wabak berkenaan.

"Saya pun pelik kenapa umrah menjadi fokus, sedangkan setiap hari orang pergi ke Hong Kong dan Taiwan atau tempat lain yang telah diketahui sebagai sumber H1N1.

"Kenapa tidak larang lawatan ke negara terbabit terlebih dahulu sebaliknya mereka memberi fokus dengan menyatakan umrah tidak boleh. Saya pun tidak tahu sebabnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Darul Quran Ke-18 membabitkan 438 pelajar peringkat diploma dan sijil dalam bidang hafalan al-Quran di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Pengarah Darul Quran, Che Ibrahim Che Man.

Beliau mengulas pengumuman Iran pada Rabu lalu yang melarang rakyatnya daripada mengerjakan umrah semasa bulan Ramadan dalam usaha membendung penularan H1N1.

Menurut Menteri Kesihatan negara itu, Mohammad Bagher Lankarani, langkah berkenaan dikuatkuasakan kerana terdapat kemungkinan meletusnya wabak penyakit tersebut berikutan bilangan jemaah yang begitu besar berkunjung ke tanah suci semasa Ramadan.

Menurut Jamil Khir, Malaysia tidak akan mencontohi langkah Iran itu kerana bilangan umat Islam negara ini yang mengerjakan umrah adalah kecil.

"Tidak wajar kita mengenakan sekatan terhadap kumpulan kecil sedangkan bilangan lebih ramai melawat negara yang dikenal pasti diserang wabak ini tidak pula dikenakan sebarang larangan.

"Rakyat Malaysia boleh mengerjakan umrah seperti biasa, cuma mereka diminta menjaga kesihatan diri dan mengambil langkah pencegahan bagi memastikan tidak dijangkiti penyakit ketika di tanah suci," ujarnya.

Tiada ulasan: