Rabu, 26 Ogos 2009

Budak putus tiga jari kena mercun

Oleh Hamid Salleh


KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak, Muhammad Nur Sufyan, 6, dari Kampung Chabang Tiga, di sini, hilang tiga jari tangan kiri selepas terkena mercun pada hari pertama umat Islam berpuasa, Sabtu lalu.

Bapa mangsa yang hanya mahu dikenali Pak Zuki, 46, berkata beliau tidak tahu sama ada mercun yang meletup kira-kira jam 8.25 malam itu dibakar oleh anaknya atau kanak-kanak lain yang bermain di halaman rumahnya.

Katanya, selepas berbuka puasa beliau melihat anaknya keluar bersama sebatang lilin untuk bermain dengan beberapa rakannya di halaman rumah.

“Tidak lama kemudian saya terdengar letupan kuat dan melihat anak saya naik ke rumah dalam berlumuran darah dan saya bergegas membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapat rawatan lanjut.

“Saya tak tahu sama ada dia bermain mercun atau terkena mercun sesat. ..Yang pastinya, saya tidak akan salahkah mana-mana pihak lain hingga anak saya ini kehilangan tiga jari,” katanya ditemui di HSNZ di sini, semalam.

Muhammad Nur Sufyan kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan merawat luka selepas kehilangan ibu jari, jari telunjuk dan hantu serta luka ringan di muka dan badan.

Sementara itu, Pengarah HSNZ, Dr Mohd Jusoh ketika dihubungi mengesahkan mangsa masih diberi rawatan di wad 5CD.

Tiada ulasan: