Selasa, 18 Januari 2022

‘Demo Azam Baki’: Sebarang perhimpunan di KL dianggap langgar SOP – Polis

SATU perhimpunan haram yang pernah diadakan di Kuala Lumpur tahun lepas ketika COVID-19 sedang melanda negara.

POLIS tidak menerima sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka Sabtu ini seperti mana tular poster mengenai penganjuran perhimpunan berkaitan desakan menahan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dalam satu kenyataan berkata, polis mengetahui ada pihak tertentu merancang bantahan dalam masa terdekat dan memberi amaran bahawa tindakan itu akan melanggar prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung pandemik Covid-19.

“Seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih berada di dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 yang berkuatkuasa bermula pada 18 Okober 2021. Pada 16 Januari 2022, bilanan kes baru di Kuala Lumpur adalah 226 dengan nilai kebolehangkitan pada kadar 1.08 (R-Naught).

“Justeru, pihak polis mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN Fasa 4 agar kita dapat mengelakkan diri dan keluarga daripada jangkitan Covid-19.

“Pihak polis juga menerima makluat berkenaan pihak-pihak tertentu yang sentiasa mengambil peluang untuk mengadakan perhimpunan/ perarakan yang sebenarnya pada ketika ini adalah jelas melanggar SOP PPN Fasa 4.

“Setakat ini, pihak polis tidak menerima sebarang permohonan mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur di bawah peruntukan Akta Perhimpunan Aan 2012,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Walaupun kenyataan Dellhan tidak menyatakan bantahan yang dimaksudkannya itu, namun ia berlaku beberapa hari sebelum perhimpunan mendesak pihak berkuasa menangkap Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, yang dirancang pada Sabtu ini (22 Jan).

Ketika ditanya sama ada dia merujuk kepada protes 22 Jan yang dirancang, pegawai polis itu berkata “semua perhimpunan termasuk” dalam kenyataannya itu.

Beberapa hari lalu, sebuah poster menyeru rakyat untuk menyertai demonstrasi itu mula tular di media sosial.

Identiti penganjurnya masih tidak jelas, tetapi poster itu telah dikongsi oleh ramai termasuk beberapa ahli politik.

Tiada ulasan: