Ahad, 30 Januari 2022

Segera agih, isu minyak masak subsidi tak patut berlaku – KPDNHEP

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam- Gambar KPDNHEP

ISU kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di dalam pasaran ketika ini tidak sepatutnya berlaku.

Itu penegasaan Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas isu tersebut semakin hangat diperkatakan oleh rakyat.

Menurut Azman, bekalan untuk pasaran sepatutnya mencukupi bagi keperluan pengguna memandangkan kerajaan telah meluluskan pengeluaran sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi setiap bulan.

“Jadi KPDHEP telah mengarahkan semua syarikat di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) dan pembekal supaya mempercepatkan pembungkusan dan agihan minyak masak ini.

“Begitupun, disebabkan beberapa faktor seperti pembelian panik oleh pengguna, berlaku sedikit gangguan bekalan di pasaran, dan diburukkan lagi dengan berita-berita tidak sahih mengenai kenaikan harga barangan.

“Pembukaan sektor ekonomi secara penuh dalam tempoh cuti perayaan turut menyumbang kepada kekurangan bekalan di pasaran,” katanya kepada pemberita hari ini.

KPDNHEP melakukan pemeriksaan dan pemantauan khas 
di kawasan Ulu Sungai dan Cheroh di daerah Raub. – Gambar 
KPDNHEP

Sementara itu, Azman turut mengecam taktik licik segelintir peniaga yang menetapkan syarat tertentu bagi pengguna yang mahu membeli minyak masak peket bersubsidi.

Katanya, KPDHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang melakukan taktik licik tersebut.

“Ada kedai yang meletakkan syarat pelanggan perlu membeli barangan lain  sebelum boleh mendapatkan minyak masak. Ini kami dah ambil beberapa tindakan berdasarkan aduan pengguna.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tindakan itu diminta menyalurkan aduan secara rasmi berserta informasi lengkap kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tiada ulasan: