Selasa, 30 November 2021

Pertingkat intervensi awal bendung Omicron - Khairy

- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Langkah intervensi berdasarkan kaedah kesihatan awam perlu ditingkatkan bagi membendung risiko penularan jangkitan varian baharu, Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pandekatan itu meliputi pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan penjagaan kebersihan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Selain itu, katanya, aspek aliran udara dalam bangunan wajar ditambah baik memandangkan kajian sebelum ini mendapati partikel virus berupaya kekal di persekitaran untuk tempoh lebih lama jika menggunakan pendingin hawa.

"Kita tahu Omicron berkemungkinan lebih mudah merebak berbanding Delta, tetapi kita belum tahu mengenai virulens (kemampuan mengundang penyakit) varian baharu ini. Apa yang kita boleh lakukan buat sementara waktu ini ialah dengan meningkatkan intervensi kesihatan awam.

"Pastikan warga emas berada dalam keadaan selamat dan ambil suntikan penggalak jika ditawarkan kepada anda," katanya menerusi kenyataan di Twitter, hari ini.

Varian B.1.1.529 yang kini diberi nama Omicron mula dikesan merebak di Afrika Selatan pada 9 November lalu, sebelum dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira dua minggu kemudian iaitu 24 November.

Menerusi penelitian awal, varian berkenaan mengundang kebimbangan orang ramai kerana ia mempunyai 32 mutasi protein pepaku, peningkatan dua kali ganda berbanding Delta.

Laporan setakat ini menunjukkan jangkitan varian Omicron hanya menyebabkan gejala sederhana kepada penduduk di Afrika Selatan, meskipun negara terbabit mempunyai kadar liputan imunisasi yang rendah.

Tiada ulasan: