KERAJAAN memperuntukkan bantuan berjumlah RM262 juta sebagai respons awal bagi membantu peladang yang terjejas susulan kenaikan harga baja dan racun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, dana RM62 juta akan disalurkan melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai tambahan ke atas peruntukan subsidi dan insentif padi di bawah Bajet 2022 yang keseluruhannya berjumlah RM1.5 bilion.
Katanya, dana RM200 juta pula disediakan sebagai pinjaman agromakanan pada kadar faedah sifar peratus, di samping moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan di bawah Tekun Nasional (TEKUN) dan Agrobank untuk manfaat pengusaha tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang terkesan.
“Kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi keluarga peladang termasuk isu yang dihadapi kini iaitu berkaitan dengan peningkatan harga baja dan racun,” katanya pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS kali ke-47, di Kuala Lumpur malam ini.
Katanya beliau juga telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk merangka dan memformulasi langkah-langkah mitigasi untuk menangani isu berkenaan.
Ismail Sabri berkata kerajaan juga akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif berasaskan ‘input’ dan ‘output’ dengan kontrak membekal dan menghantar input pertanian diberikan kepada NAFAS selaku badan induk pergerakan Pertubuhan Peladang yang menaungi 920,000 ahli di seluruh negara.
Katanya pemberian itu dilakukan di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) bagi tempoh 1 Julai 2021 hingga 31 Dis 2023 dengan nilai RM1.82 bilion.
“Saya telah maklumkan Menteri Kewangan kita perlu bantu NAFAS. Apabila kita bantu NAFAS, maka secara langsung kita membantu golongan peladang, petani dan penternak,” katanya.
Ismail Sabri berkata kerajaan juga akan membantu pesawah yang tiada pendapatan sementara menunggu musim menuai, dan bagi tujuan itu kerajaan terlebih dahulu akan berbincang dengan MAFI serta MOF untuk mengkaji implikasi kewangan terlibat.
Sementara itu Perdana Menteri berharap keluarga peladang dapat bergerak akrab dan sentiasa menjaga kebajikan antara satu sama lain, sekali gus bergerak sebagai ‘subset’ yang melengkapi Keluarga Malaysia.
Beliau berkata Malaysia telah melalui tempoh yang penuh mencabar susulan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan bukan sahaja dalam aspek sosial, tetapi juga ekonomi, termasuk Industri Agromakanan Negara terutamanya di peringkat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Katanya warga peladang, penternak dan nelayan telah menjadi tulang belakang negara dan petugas barisan hadapan dalam sektor agro makanan negara, sekali gus memastikan kelancaran keseluruhan rantaian makanan termasuk pengeluaran, pengedaran dan peruncitan produk hasilan pertanian dan industri makanan.
Perdana Menteri berkata beliau yang dibesarkan dalam keluarga penoreh getah serta pernah menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2013 hingga 2015 amat memahami perit getir dan cabaran dihadapi peladang, penternak dan nelayan dalam negara.
“Pertanian sesungguhnya amat sinonim dengan saya. Seperti semua tahu bahawa saya dilahirkan dan membesar dalam keluarga petani. Kerana itulah jiwa petani sentiasa tersemat di dalam sanubari saya,” katanya.
Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee dan kedua-dua timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan