Ibu bapa digesa peka status sekolah anak masing-masing mengikut fasa PPN.
Menjelang pembukaan sekolah di Kelantan dan Terengganu mulai esok, ibu bapa digesa untuk mengambil maklum mengenai status sekolah anak-anak mereka bagi mengelakkan tersalah hantar, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.
Beliau berkata, tidak semua kelas perlu pergi ke sekolah memandangkan pembukaan sekolah dilakukan secara berperingkat.
“Di negeri-negeri Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), sebagai contoh di Terengganu ini, murid sekolah menengah yang akan hadir ke sekolah adalah murid kelas peperiksaan iaitu murid Tingkatan Lima dan Enam yang hadir secara bergilir, kecuali murid bagi sekolah berasrama yang tinggal di asrama sepenuhnya dan juga murid Tingkatan Enam semester dua,” katanya di Kuala Terengganu hari ini.
Beliau mengadakan tinjauan di 10 sekolah di Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu bagi melihat persiapan akhir sekolah sebelum memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai esok.
Selain itu, katanya murid berkeperluan khas akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran.
Bagi sekolah rendah, hanya murid prasekolah dan murid bekeperluan khas akan hadir secara fizikal.
“Jadi bagi ibu bapa, kami memohon supaya meneliti dan melihat negeri dan fasa manakah sekolah anak-anak kita berada dan ikutilah ketetapan sebagaimana yang diumumkan KPM sebum ini,” katanya.
Terengganu beralih ke Fasa Tiga PPN pada 17 September lepas, manakala Kelantan beralih pada fasa 2 sejak 5 Julai lalu dan dijangka memasuki fasa 3 awal bulan ini.
Bagi sekolah menengah di Terengganu, murid kelas peperiksaan antarabangsa dan murid kelas peperiksaan awam di sekolah harian serta swasta akan hadir ke sekolah secara bergilir.
Dalam pada itu, katanya perkara utama yang perlu ditambah baik beberapa sekolah-sekolah di Terengganu ialah aspek pengudaraan.
“Kita lihat masih ada ruang untuk kita pastikan pengudaraan di dalam bilik darjah dan bilik-bilik khas lain berada di tahap yang optimum.
“Maknanya langsir-langsir atau poster-poster yang ada ditingkap yang menghalang pengudaraan seharusnya diketepikan atau disimpan terlebih dahulu bagi memastikan apabila anak-anak kita hadir ke sekolah esok, pengudaraan telah berada ditahap optimum dan berlaku dengan baik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan