Jumaat, 1 Oktober 2021

Rakyat perlu terus berwaspada tempuhi endemik - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Rakyat diminta untuk terus berwaspada walaupun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan mencapai 90 peratus bulan depan dan 100 peratus menjelang akhir tahun serta peralihan fasa situasi pandemik kepada endemik.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata rakyat juga diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya situasi negara tidak kembali kepada keadaan seperti dulu ketika kerajaan menguruskan pandemik COVID-19 dengan mencabar.

"Justeru, seperti diingatkan berulang kali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, semua orang perlu tetap berwaspada dan tidak leka.

"Ia termasuk jangan terlalu cepat selesa dengan perkembangan peralihan fasa kerana negara akan memasuki fasa endemik iaitu keadaan kita terpaksa hidup dengan COVID-19," katanya ketika diminta mengulas mengenai peralihan fasa, terutama membabitkan negeri Lembah Klang.

Semalam, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Lembah Klang, Melaka dan Kedah berkuat kuasa esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga pengerusi jawatankuasa khas itu dilaporkan berkata, Lembah Klang yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta Melaka beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3, manakala Kedah daripada Fasa 1 kepada Fasa 2.

Peralihan fasa itu dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berdasarkan keputusan jawatankuasa yang membenarkan peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 bagi Kedah, ia bermakna tiada lagi negeri berada di Fasa 1 di seluruh negara.

Muhyiddin berkata, rakyat diingatkan supaya berhati-hati walaupun sudah ada kelonggaran di samping situasi COVID-19 semakin bertambah baik.

"Walaupun sudah diberikan kebebasan dari segi SOP yang tidak seperti dulu yang ada banyak dan mengelirukan, ia memang memberi sedikit kelegaan kepada rakyat," katanya.

Katanya, dengan perkembangan itu, sebahagian besar sektor ekonomi sudah dibenarkan beroperasi, sekali gus dapat menjalankan perusahaan seperti biasa dan mengeluarkan produk yang boleh dijual dan dieksport ke luar negara.

"Ini sekali gus akan menambah pendapatan negara daripada segi perolehan cukai, selain membolehkan sektor perusahaan kecil dan sederhana, sektor bukan formal dan ekonomi gig beroperasi semula.

"Begitu juga sektor pelancongan, seiring peralihan fasa kedua hingga empat," katanya.

Tiada ulasan: