Rabu, 2 Disember 2020

Kisah hidup Cik B dalam single pertama 'Tolonglah'

Aida Aziz
Kisah hidup Cik B dalam single pertama 'Tolonglah'
Cik B dan ibunya Datin Seri Vida bercakap kepada media mengenai single pertamanya di kediaman mereka di Ipoh malam tadi. - Foto Astro AWANI
 
IPOH: Selepas mendapat perhatian menerusi lakonan dalam drama bersiri baru-baru ini, kini Cik B, anak kepada jutawan kosmetik Datuk Seri Vida, muncul dengan single pertamanya bertajuk 'Tolonglah'.
 
Menerusi lagu yang dilancarkan malam tadi, Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamilleen 
Muhamad Amin berkata, lirik lagu itu sarat dengan penceritaan berkisarkan kisah hidupnya selama ini.
 
Ujar remaja berusia 15 tahun ini lagi, dia kini mula memberanikan diri keluar dari zon selesa kerana sebelum ini berasakan dirinya sangat pemalu dan kurang keyakinan diri.
 
"Sebenarnya lagu ini sudah lama dibuat, sejak bulan Disember tahun lepas. Dan pada mulanya, saya nak keluarkan (lagu) lebih awal, tapi waktu itu rasa belum yakin, disebabkan masih malu dengan media dan orang ramai, bercampur dengan rasa takut.
 
"Bagaimanapun, sekarang sudah rasa semakin baik, dan saya tanam azam pada diri sendiri, yang 'it's time to shine'.
 
"Saya sudah percaya dengan diri sendiri dan kurang malu berhadapan dengan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas pelancaran single tersebut di kediamannya di sini.
 
"Lagu ini inspirasi tentang hidup saya, daripada kecil hingga dewasa saya. Bagaimana dulu saya kena dera dengan pembantu rumah, isu keluarga dengan ayah dan sebagainya," terangnya mengenai single 'Tolonglah'.
 
Foto Astro AWANI
Foto Astro AWANI
 
Kata Cik B, lagu tersebut merupakan hasil ciptaan dan lirik sepenuhnya oleh dia dan ibunya, dan tambahnya, dia bersedia terima sebarang kritikan.
 
"Saya dah biasa. Dari umur saya 12 tahun lagi, saya selalu kena kecam. Jadi, sekarang saya sudah imun dengan kecaman," tambahnya.
 
Cik B berkata walaupun sering dibayangi aura ibunya, dia berharap lagu ini dapat diterima ramai dan memberi motivasi kepada mereka yang menghadapi pengalaman sama seperti dirinya.
 
Foto Astro AWANI
 Foto Astro AWANI
 
Sementara itu, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman berkata, dia menyokong sepenuhnya minat dan usaha anaknya itu, dan dalam masa sama gembira melihat perubahan imej dan sikap Cik B yang tidak lagi kekok berdepan orang ramai.
 
"Sebenarnya, dia nak keluar dari kepompong dan perasaan malu, yang mana, dia banyak habiskan masa dalam bilik sebelum ini.
 
"Setelah setahun lagu ini diperam, dan dia pun tiada kekuatan untuk lancarkan, akhirnya, kebetulan jadi pelakon, dan sudah tiba masanya dia bersinar," katanya. 
 
Foto Astro AWANI
Foto Astro AWANI

Tiada ulasan: