Rabu, 2 Januari 2019

Empat pasangan kembar teruja masuk Tahun Satu

ISMA WEB

 

Tiga pasangan lelaki, satu perempuan ke SK Serkam Darat


JASIN – Empat pasangan kembar iaitu tiga pasangan lelaki dan satu pasangan perempuan teruja untuk memulakan sesi persekolahan Tahun Satu mereka di Sekolah Kebangsaan Serkam Darat di sini hari ini.

Pasangan kembar berusia tujuh tahun itu Muhammad Danial Azlan dan Muhammad Danish; Nurain Amirah Abdul Malek dan Nurain Athirah; Muhammad Nur Airie Ahmad Redzuan dan Muhammad Nur Airil; serta Mior Rafueq Hazieq Mohd Rosdy dan Mior Razieq Harith ceria memulakan persekolahan mereka hari ini.

Guru besar sekolah itu, Abu Hassan Ahmad ketika ditemui pemberita berkata ini merupakan pertama kali sekolah tersebut menerima kemasukan pelajar tahun satu melibatkan empat pasangan kembar secara serentak pada sesi persekolahan baharu dan sekolah itu menerima kemasukan keseluruhan 97 pelajar tahun satu kali ini.

“Sebelum ini ada juga pasangan kembar daftar masuk ke sekolah ini, tetapi tidak ada lagi secara serentak seperti empat pasangan kembar yang kita lihat hari ini,” katanya.

Abu Hassan berkata, empat pasangan kembar itu akan diletakkan dalam satu kelas yang sama bagi memudahkan proses pembelajaran selain membuatkan mereka berasa lebih selesa berada dekat antara satu sama lain.

Beliau berkata, ketibaan lapan murid itu disambut dengan persembahan Persatuan Seni Silat Gerak Tepat Umbai dan Gerbang Melayu Melaka (GBM) yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi GBM, Hisham Jaafar dan lima anggota yang memainkan alat muzik termasuk gendang ibu, gendang anak, gong, tetuang dan serunai.

“Kehadiran lima hulubalang berbusana pahlawan Melayu cukup menceriakan murid-murid khususnya dari tahun satu yang memulakan hari pertama sesi persekolahan antara lain bagi mengurangkan perasaan takut mereka.

“Selain itu, kita memilih konsep (pahlawan Melayu) berbanding watak kartun yang sinonim dengan kanak-kanak ini bagi mendedahkan mereka dengan sejarah dan budaya masyarakat kita,” katanya.

Sementara itu, Zabariah Zainuddin, 45, pekerja swasta yang juga ibu kepada Nurain Amirah dan Nurain Athirah berkata, anak keempat dan kelimanya itu begitu teruja dan tidak sabar untuk memasuki alam persekolahan.

“Saya pun berasa terkejut apabila mereka bangun seawal lima pagi dan menyatakan tidak sabar untuk berjumpa dengan rakan-rakan baharu.

“Setiap hari mereka akan tanya…bila nak ke sekolah…dan hari ini mereka bangun sendiri tanpa saya perlu kejutkan. Alhamdulillah mereka dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran di sekolah termasuk guru memandangkan sebelum ini mengikuti prasekolah,” katanya yang tinggal di Taman Serkam Maju. – Bernama


Tiada ulasan: