ISMA WEB
Tiga pasangan lelaki, satu perempuan ke SK Serkam Darat
JASIN
– Empat pasangan kembar iaitu tiga pasangan lelaki dan satu pasangan
perempuan teruja untuk memulakan sesi persekolahan Tahun Satu mereka di
Sekolah Kebangsaan Serkam Darat di sini hari ini.
Pasangan
kembar berusia tujuh tahun itu Muhammad Danial Azlan dan Muhammad
Danish; Nurain Amirah Abdul Malek dan Nurain Athirah; Muhammad Nur Airie
Ahmad Redzuan dan Muhammad Nur Airil; serta Mior Rafueq Hazieq Mohd
Rosdy dan Mior Razieq Harith ceria memulakan persekolahan mereka hari
ini.
Guru besar
sekolah itu, Abu Hassan Ahmad ketika ditemui pemberita berkata ini
merupakan pertama kali sekolah tersebut menerima kemasukan pelajar tahun
satu melibatkan empat pasangan kembar secara serentak pada sesi
persekolahan baharu dan sekolah itu menerima kemasukan keseluruhan 97
pelajar tahun satu kali ini.
“Sebelum
ini ada juga pasangan kembar daftar masuk ke sekolah ini, tetapi tidak
ada lagi secara serentak seperti empat pasangan kembar yang kita lihat
hari ini,” katanya.
Abu Hassan
berkata, empat pasangan kembar itu akan diletakkan dalam satu kelas
yang sama bagi memudahkan proses pembelajaran selain membuatkan mereka
berasa lebih selesa berada dekat antara satu sama lain.
Beliau
berkata, ketibaan lapan murid itu disambut dengan persembahan Persatuan
Seni Silat Gerak Tepat Umbai dan Gerbang Melayu Melaka (GBM) yang
diketuai oleh Timbalan Pengerusi GBM, Hisham Jaafar dan lima anggota
yang memainkan alat muzik termasuk gendang ibu, gendang anak, gong,
tetuang dan serunai.
“Kehadiran
lima hulubalang berbusana pahlawan Melayu cukup menceriakan murid-murid
khususnya dari tahun satu yang memulakan hari pertama sesi persekolahan
antara lain bagi mengurangkan perasaan takut mereka.
“Selain
itu, kita memilih konsep (pahlawan Melayu) berbanding watak kartun yang
sinonim dengan kanak-kanak ini bagi mendedahkan mereka dengan sejarah
dan budaya masyarakat kita,” katanya.
Sementara
itu, Zabariah Zainuddin, 45, pekerja swasta yang juga ibu kepada Nurain
Amirah dan Nurain Athirah berkata, anak keempat dan kelimanya itu begitu
teruja dan tidak sabar untuk memasuki alam persekolahan.
“Saya pun
berasa terkejut apabila mereka bangun seawal lima pagi dan menyatakan
tidak sabar untuk berjumpa dengan rakan-rakan baharu.
“Setiap
hari mereka akan tanya…bila nak ke sekolah…dan hari ini mereka bangun
sendiri tanpa saya perlu kejutkan. Alhamdulillah mereka dapat
menyesuaikan diri dengan persekitaran di sekolah termasuk guru
memandangkan sebelum ini mengikuti prasekolah,” katanya yang tinggal di
Taman Serkam Maju. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.