Jumaat, 21 Disember 2018

Pemuda Bersatu: Ramasamy melampau

MALAYSIAKINI

   

Desakan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy agar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diambil tindakan disifatkan melampau dan tidak berasas, kata Ketua Pemuda Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh.

Ini selepas Menteri Belia dan Sukan itu menuntut P Waythamoorthy berundur sebagai menteri perpaduan berikutan rusuhan kuil di Subang Jaya bulan lalu.

Mohd Hafez berkata, penyerahan memorandum agar Waytha meletakkan jawatan oleh Pemuda Bersatu bukan bermaksud tidak menghormati perdana menteri seperti dinyatakan Ramasamy.

“Penyerahan memorandum menggesa peletakan jawatan Waythamoorthy oleh Pemuda Bersatu kepada perdana menteri, bertujuan menzahirkan pendirian Pemuda Bersatu berhubung perkara itu kepada beliau.

“Pastinya Pemuda Bersatu menaruh harapan tinggi supaya permintaan ini menjadi kenyataan namun jika sebaliknya, kami tetap akur dan patuh berhubung sebarang keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri,” kata Mohd Hafez dalam kenyataan.

Semalam Ramasamy yang juga anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP menyelar Syed Saddiq susulan tuntutan pergerakan itu agar Waytha berundur sebagai menteri perpaduan.
Tuntutan itu dibuat setelah Waythamoorthy didakwa gagal meredakan ketegangan kaum dalam isu kuil di Subang Jaya, menyalahkan polis dan tidak meminta maaf berhubung video lama yang mendakwa kaum India didiskriminasi.

Ramasamy berkata tindakan menyerahkan memorandum itu “menghina” kebijaksanaan perdana menteri yang melantik anggota kabinetnya.

Katanya, walaupun Waytha bukan sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan, beliau dilantik kerana sumbangannya kepada masyarakat India.





'Jangan amal double standard'

Mengulas lanjut Mohd Hafez berkata, Pemuda Bersatu Perak meminta Ramasamy tidak mengamalkan sikap 'double standard' dalam menyuarakan pendapa.

Katanya, pada 2 Julai lalu, bekas Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Malaysia, Wong Kah Woh pernah melakukan tindakan lebih serius apabila mempertikai pelantikan menteri kabinet yang dibuat tanpa mengikut bilangan kerusi dimenangi sesebuah parti dalam PH.

“Mengapa pada ketika itu, Ramasamy tidak bersuara dan mendesak kepemimpinan parti mengambil tindakan berhubung perbuatan ini?

"Tidakkah beliau beranggapan bahawa perbuatan ini turut ‘menghina’ kebijaksanaan perdana menteri dalam membuat keputusan?

“Sewajarnya Ramasamy membuat kajian terlebih dahulu dan perlu lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan apa juga kenyataan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak memelihara hubungan erat di antara parti gabungan dalam PH seterusnya menggalas amanah rakyat dengan sebaiknya.


Tiada ulasan: