Selasa, 11 Disember 2018

Lawan naratif PAS-Umno, PH mesti bina naratif baru

Eekmal Ahmad
 

Sudah-sudahlah terperangkap dalam perbincangan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). PAS, Umno dan penyokong mereka bukan membantah ICERD sangat.

Malah bukan mereka tahu sangat apa itu ICERD. Ramai-ramai yang menyokong ICERD bukan benar-benar tahu apa itu konvensyen tersebut.

Perhimpunan besar Sabtu lepas ini sejenis “peperangan budaya”, atau cultural war. Ia sejenis pertembungan naratif yang cuba membentuk tanggapan; naratif mana lawan naratif apa. Kita harus memperhalusinya supaya tidak membentuk rumusan yang salah dan akhirnya melaksanakan penyelesaian yang salah.

Perkembangan ini mengingatkan saya politik Amerika Syarikat selepas Barack Obama. Lapan tahun pemerintahannya, banyak penambahbaikan dan perubahan diperkenalkan tetapi banyak juga kesalahan. Akan tetapi apa yang tidak diuruskan dengan baik di sana adalah pertembungan naratif.

Obama sebagai presiden itu sendiri telah mencarik-carik naratif Amerika Syarikat yang sebelum ini hanya mengenali presiden berkulit putih, atau paling tidak bukan berkulit hitam.

Melihat Obama berjaya itu sendiri suatu yang menggugat “the essential core of existence” buat warganegara tersebut yang merasakan “negara Paman Sam” itu mestilah negara kulit putih. Melihat Michelle Obama sebagai ikon sofistikated itu sendiri menggugat keyakinan bahawa hanya kulit putih mempunyai keupayaan untuk sesuatu yang canggih.

Dipendekkan catatan ini, naratif ketuanan kulit putih menang. Calon presiden Demokrat Hillary Clinton kalah. Ada banyak sebab tetapi semua itu kini sudah tinggal akademik. Sekarang calon Republikan Donald Trump yang memerintah.

Naratif ketuanan

Bukan semua kulit putih menyokong naratif ketuanan ini seperti kita semua tahu. Sementara yang menyokong Trump ada keresahan lain pula seperti kemiskinan dan tiada pekerjaan. Akan tetapi memilih platform ketuanan kaum atau agama sebagai wahana menyuarakan ketidakpuasan hati merupakan suatu fenomena yang harus kita teropong dengan cermat.

Begitulah juga dengan isu dah perhimpunan ICERD baru-baru ini. Ia bukan mengenai ICERD. Ia mengenai segmen Melayu yang tidak mahu menerima kepimpinan pelbagai kaum yang ada dalam Pakatan Harapan (PH).

Andaian mereka, anasir-anasir seperti DAP dan P Waytha Moorthy, menteri yang mengurus integrasi kaum, mempengaruhi keputusan Putrajaya. Lebih mudah, mereka mengandaikan kaum Cina dan India mengawal pentadbiran.

Benarlah, kita tahu andaian mereka itu bohong. Namun kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berusia 93 tahun, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula tidak memenangi banyak kerusi pada pilihan raya umum lalu, manakala PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak dilihat sebagai mewakili umat Melayu, maka dilemparkan tohmahan-tohmahan berbau perkauman.

Mereka tahu tiada siapa mampu menjadikan Dr Mahathir, seorang pemimpin Melayu yang disegani, sebagai “puppet”. Siapa dalam PH yang berani menjadikan beliau “puppet”?

Baru tadi perdana menteri menjawab isu taman negara, atau tanah kesultanan, Pulau Kukup di Johor dengan tegas. “Kerajaan persekutuan bukan orang luar,” katanya, menjawab kenyataan istana. Calang-calang pemimpin pasti rebah jika dihadapkan tekanan seumpama ini.

Isu pulau itu sebagai contoh kepemimpinan Dr Mahathir yang tegas dan jelas. Jadi, bagaimanapun kita melihanya, beliau tidak goyah dengan perhimpunan ICERD di tepi Dataran Merdeka. Musuhnya bagaimanapun terus mengipas propaganda bahawa pentadbiran beliau ini dikawal Cina dan India.

Ada dakwaan beliau sudah membuat pusingan U apabila enggan meratifikasi ICERD. Sejak bila pembangkang mula melawan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini? Saya yang pernah mengikuti tarbiyah PAS di Universiti Kebangsaan Malaysia (1998-2002) sendiri melawan Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa Barat ini di Jalan Tun Razak sahaja.

Namun Dr Mahathir melawan Barat dengan bersahabat dengan Fidel Castro, pemimpin Cuba waktu itu, dan mengkritik dasar apartheid sejak awal pentadbirannya lagi. Jadi, elok simpanlah khutbah bahawa beliau membuat pusingan U.

Tidak yakin PH lindungi Melayu

Kita kembali kepada mauduk asal, oleh kerana beberapa faktor, maka ada orang Melayu tidak yakin PH akan melindungi orang Melayu. Atau yang lebih mustahak, mereka tidak yakin PH ini sejajar atau menepati naratif bahawa Malaysia ini milik orang Melayu (atau Islam).

Jadi, persoalannya sekarang, apa langkah ke hadapan buat Pakatan Harapan?

Berita baik daripada segala isu berkaitan ICERD dan demonstrasi hujung minggu lalu, ia berlaku awal dan bukannya dekat dengan pilihan raya umum ke-15.

Masih ada banyak waktu untuk menguruskan persepsi dan banyak waktu untuk segera melakarkan rencana konkrit, terutamanya yang berkaitan meningkatkan taraf ekonomi rakyat Malaysia.

Kegusaran saya pula adalah, oleh kerana kuatnya henjutan yang dilakukan gabungan pembangkang, PH akan terjerumus mengikuti formula yang sama dengan Umno-Barisan Nasional. Kita sedar bahawa formula itu akan melingkupkan negara walau keresahan beberapa segmen orang Melayu dapat diredakan. Jadi pendekatan seumpama itu sama sekali bukan pilihan.

Sekiranya kita mahu berperang melawan naratif tersebut, kita mesti berperang bersungguh-sungguh, jangan sekadar 50-50. Peperangan ini di antara naratif fasis Melayu (walau tidak semua yang hadir membantah ICERD itu fasis) dengan naratif harapan. Namun apa Naratif Harapan?

Persoalan inilah yang harus dirumus sesegera mungkin. Naratif Harapan bukan naratif liberal Kuala Lumpur, bukan naratif sosialis, bukan pula naratif cauvinis kaum atau agama. Sukar memikirkan Naratif Harapan?

Sudah pasti. Kerana ia seharusnya menjadi naratif nasional, naratif kebangsaan (saya cadangkan PH atau Harapan ditukarkan kepada Harapan Kebangsaan) Jangan juga alpa kebangsaan ini merangkumi Sabah dan Sarawak. Ia bukan persoalan Semenanjung sahaja.

Jika fasis Melayu mahukan perang budaya, dengan membawa naratif fasis Melayu, kita mesti melebarkan medan biar ia menjadi lebih besar sehingga mereka juga harus sama-sama menongkah arus memaknai “makna naratif kebangsaan” ini.

Harapan generasi kedua PH

Saya juga ingin mencadangkan generasi kedua pemimpin PH, seumpama Datuk Seri Azmin Ali, Anthony Loke, Gobind Singh Deo, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Derell Leiking dan pemimpin-pemimpin lain (nota: tolong, jangan bahas masalah kepuakan parti di sini, letih), untuk mengadakan perbincangan bagi menampilkan secepat mungkin dengan 10 Perkara yang akan mereka laksanakan.

Manakala pemimpin PH, terutamanya dalam kabinet, harus bermuhasabah kerana ada tindakan atau perkataan mereka yang mungkin tidak disengajakan akan tetapi menjejaskan kerajaan PH.

Kepimpinan yang berkeupayaan bekerja seolah-olah tidak ada pada gabungan fasis Umno dan PAS. Mereka tiada kepimpinan dinamik dan kelihatan mampu melaksanakan kerja dengan cekap. Ada seorang dua, namun bukan di peringkat barisan kepemimpinan. Manakala bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin belum pasti mahu bersama segmen fasis keagamaan partinya dan PAS.

Yang terakhir, pemimpin-pemimpin Umno yang terlibat dalam kes-kes rasuah harus segera didakwa dan dihukum. Pastinya cabang eksekutif tidak mencampuri cabang kehakiman, namun Jabatan Peguam Negara harus kategorikan kes-kes mereka ini sebagai berprofil tinggi.

Jika ada bukti yang cukup, segera dakwa dan jika bersalah mereka dipenjara. Mereka yang rasuah itu mengkhianati amanah bangsa. Apakah pendukung semangat Islam dan sentimen Melayu mahu dikaitkan dengan golongan perasuah? Baiklah, kita lihat nanti.

Manakala itu segmen-segmen tertentu yang baru-baru ini bergabung dengan gerakan anti-ICERD, namun bukan menganut ideologi fasis Melayu Islam, usahlah bersama gabungan itu. Anda adalah golongan terhormat kerana mahukan keadaan dan kerajaan yang lebih baik.

Jika anda tidak suka PH, anda buatlah gabungan anda sendiri. Jadilah kumpulan pendesak atau jadi parti politik melawan PH, Umno dan PAS sekali gus.

Kepada penyokong PH pula, sudah-sudahlah jadi lembik. Kita mesti ingat PH ini bukan Islamis, bukan Malaysian Malaysia, bukan kiri dan bukan fasis Melayu. Cukup. Kita adalah suatu perjuangan kebangsaan.

* Eekmal Ahmad,  sarjana sejarah SOAS,

Tiada ulasan: