Selasa, 4 Disember 2018

Kerajaan Pusat : Masanya Untuk Bangunkan Kelantan

Oleh Mohammad Agus Yusoff



Setelah PRU-14 berlalu, saya lihat Kelantan masih sama seperti dahulu. Lapangan terbang belum dibesarkan, lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu belum siap, air masih berkarat, bandar masih kotor, kilang IKS belum banyak, dadah masih menjadi masalah sosial utama, dan royalti minyak belum diberi kepada Kelantan. ECRL pula yang kerajaan BN dahulu hendak laksanakan dibatalkan oleh kerajaan baharu.

Apa sebabnya Kelantan begitu? Apakah kerana kerajaan Kelantan lemah atau kerajaan pusat mendiskriminasikan Kelantan?

Ramai menyalahkan pemimpin Kelantan lemah, tidak pandai menjana kewangan, hanya bergantung kepada hasil balak dan bantuan kewangan kerajaan pusat sahaja. Pandangan tersebut ada benarnya, tetapi lebih benar lagi adalah Kelantan tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.

Maka, sampai waktunya dengan kerajaan baharu ini, apa yang menjadi hak Kelantan diberikan kepada Kelantan. Kerajaan pusat sekarang jangan lagi mengulangi kesilapan kerajaan BN dahulu.

Menafikan hak Kelantan akan semakin mendekatkan rakyat Kelantan dengan kerajaan negerinya.

Rakyat Kelantan cerdik politik. Semakin ditekan semakin mereka melawan. Majoriti mereka adalah petani yang tidak takut dengan binatang buas di hutan, dan nelayan yang tidak takut dengan ombak ganas di lautan.
 
 Maka, besarkanlah lapangan terbang. Penerbangan domestik sahaja dengan MAS, AirAsia, Firefly dan Malindo, Kelantan menerima 44 penerbangan sehari. Bukan hanya itu, kedudukan Kelantan membolehkan banyak penerbangan antarabangsa dari Indo-China, Singapura dan Timur Tengah membuat penerbangan terus sekiranya lapangan terbang Kelantan dibesarkan.

Binalah pelabuhan. Kedudukan Kelantan di Laut China Selatan sesuai untuk kapal dagang yang hendak ke Indo China, Hong Kong, Korea, China dan Jepun berlabuh.

Bangunkanlah Industri kecil dan Sederhana untuk hasil keluaran Kelantan dieksport ke luar negara. Kelantan banyak hasil seninya dan makanan tempatannya. Ada kain batik, budu, keropok, serunding daging, dan seni pertukangan yang laris laku di luar negara. Kelantan juga sesuai dibangunkan sebagai pengeluar gelatin halal terbesar di dunia.

Tingkatkan pasukan keselamatan untuk menjaga sempadan dengan Thailand. Kemasukan dadah banyak melalui sempadan ini. Jika mencukupi pasukan keselamatan yang menjaga sempadan, banyak barang penyeludupan, termasuk dadah yang tidak boleh masuk ke negara kita.

Berilah royalti minyak kepada Kelantan. Bila ada wang, kerajaan Kelantan boleh menyediakan bekalan air dan menjaga kebersihan bandar. Sekarang ini untuk tukar paip air yang berkarat itu memerlukan wang yang banyak. Untuk jaga kebersihan perlu tong sampah, lori sampah dan tempat pelupusan yang banyak.

Lebih raya Kuala Krai-Kota Bharu, siapkan secepatnya. Sudahlah projek ECRL dibatalkan atas alasan kosnya mahal dan tidak ekonomi efektif, maka gantilah dengan pembesaran lapangan terbang dan lebuh raya yang telah lama dinantikan oleh rakyat Kelantan.

Yakinlah, jika kerajaan pusat bertindak baik kepada Kelantan, maka rakyat akan mengenangnya. Sekarang di bawah kerajaan pusat yang baharu, jangan jadikan perbezaan politik untuk terus menghukum pembangunan Kelantan. Tak usah takut kerajaan PAS Kelantan menjadi kuat.

 PH boleh menyainginya jika mempunyai pemimpin hebat. Maka, binalah karekter pemimpin PH yang sesuai dengan selera rakyat Kelantan.

Secara peribadi, tanpa mengira fahaman politik, sebagai anak Kelantan, saya mahukan prinsip federalisme ditegakkan.

 Menjunjung prinsip federalisme ini adalah langkah terbaik untuk kerajaan pusat buktikan transisi politik pada Mei 2018 adalah langkah negara kita menuju demokrasi sejati.
 
 

Tiada ulasan: