CALON PRK Port Dickson
(PD), Lt. Kol (B) Haji Mohd Nazari Mokhtar bersetuju dengan cadangan
pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (Bersih) bagi setiap calon
menandatangani akujanji untuk bertanding dengan bersih dan adil dalam
pilihan raya ini.
Akan tetapi, beliau mempersoalkan
cadangan itu yang dikatakan sudah dipersetujui oleh hampir semua calon,
dalam masa yang sama, ada calon yang menggunakan kenderaan kerajaan
ketika berkempen.
"Masuk dalam kem tentera, berucap kepada pengundi, sedangkan itu satu kesalahan dalam (peraturan) SPR dan Bersih kata apa?
"Kita pakat berikrar buat akujanji, tapi hakikatnya, rakyat menilai, pengundi menilai, wallahualam," kata beliau sinis.
Beliau ditemui ketika berkempen di pasar
malam Bukit Pelanduk petang tadi, memberikan jawapan demikian setelah
ditanya wartawan berkenaan pendapat beliau mengenai akujanji yang
dicadangkan oleh Bersih itu.
Beliau dalam pada itu menafikan dakwaan
bahawa beliau tidak mahu menandatangani akujanji itu bersama seorang
lagi calon bebas, Tan Sri Isa Samad dan memaklumkan bahawa beliau tidak
diberitahu mengenai hal itu.
Ditanya mengenai kerinduan beliau kepada
Port Dickson yang pernah menjadi kawasan beliau bertugas dahulu ketika
dalam perkhidmatan tentera, beliau menjelaskan sememangnya selepas
bersara, dia paling kurang dua bulan sekali akan datang ke Port Dickson.
"Saya dahulu datang dalam keadaan
sebatang kara, kita berada dalam kem sebatang kara, melakukan latihan
sebagai pejuang dan hidup sebagai pejuang.
"Dan alhamdulillah saya melepasi pahit getir dan itu semua meninggalkan kesan nostalgia kepada diri saya.
"Hari ini saya berdiri di sini kembali
dengan sebahagian kecil gerak gempur saya, saya bersama rakyat PD
menggempur untuk membuat pembelaan sebagai pejuang kepada rakyat," tegas
beliau. Tamat. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan