Selasa, 9 Oktober 2018

PM: Kerajaan kaji perkenal cukai baru

 
   

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenal cukai baru sebagai sumber bagi menambah pendapatan.

Beliau berkata langkah itu adalah antara beberapa langkah yang akan diambil bagi mengurangkan hutang negara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

"Ia adalah satu bentuk cukai yang berbeza tetapi ia (secara tidak langsung) dapat mengurangkan beban rakyat.

"Itulah tujuannya, untuk membayar hutang kerajaan," kata Mahathir kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pembukaannya di forum Malaysia A New Dawn di Kuala Lumpur pagi ini.

Terdahulu, dalam ucapan beliau, Mahathir berkata beberapa langkah lain akan turut diambil kira termasuk kemungkinan menjual tanah kerajaan atau aset lain.

"Kerajaan terdahulu menjual banyak tanah kepada orang asing, saya tidak fikir ini bagus untuk kita.

"Tetapi kita boleh menjual tanah kepada penduduk tempatan," katanya.

Beliau menambah pendapatan tambahan yang dihasilkan akan membantu mengurangkan hutang kerajaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi di masa depan.

Mahathir juga berkata kerajaan perlu mencari sumber pendapatan alternatif kerana ia kini terbeban dengan pelaburan buruk dan tidak dapat dikembalikan semula.

"Sekarang kita tidak tahu di mana wang itu jadi kita perlu mencari sumber dana lain," katanya.

Sementara itu, Mahathir juga menegaskan bahawa kerajaan akan tetap bersikap mesra perniagaan.

"Kerajaan tidak mencipta kekayaan, kerajaan hanya mencukaikan rakyatnya yang kaya.

"Jika kami kelihatan baik kepada kamu itu kerana kami mengenakan 24 peratus (cukai korporat)," katanya.

Individu daripada pelbagai industri berkumpul dalam persidangan sehari yang dianjurkan Kementerian Kewangan hari ini dan berkongsi input mereka mengenai cara meningkatkan ekonomi negara.


Tiada ulasan: