Oleh Athirah Huda Zalhe
Jangan tuduh Jabatan Agama Islam Negeri ikut acuan sendiri tanpa SOP: Asyraf Wajdi
BANGI
– Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kesal tindakan
segelintir pihak yang mengambil kesempatan menyebarkan semula berita
lama berkaitan kes saman sepasang suami isteri terhadap Jabatan Agama
Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Beliau
berkata, kes yang ditularkan sejak beberapa hari lalu dijadikan modal
kumpulan liberal yang membantah operasi pencegahan maksiat, kerana
kononnya zalim dan mengganggu ketenteraman individu.
Katanya,
kes itu tercetus apabila sepasang suami isteri mengambil tindakan
menyaman JAWI, kononnya jabatan agama berkenaan menahan dan menyerbu
mereka secara salah kerana disyaki berkhalwat.
“Kebetulan kes ini berlaku ketika saya masih menjaga portfolio Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri.
“Untuk
pengetahuan, kes ini sudah selesai dengan pasangan ini akhirnya mengaku
bersalah dan didenda kerana dengan sengaja membuat aduan dan panggilan
palsu kepada JAWI untuk memalukan penguatkuasa agama sekali gus
menjadikannya isu nasional untuk mewajarkan pemansuhan operasi
pencegahan maksiat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam
saman difailkan pada 17 Februari 2017, pasangan suami isteri itu
mendakwa mereka yang bernikah pada 17 Oktober 2014 di Kuala Lumpur,
telah ditahan secara salah oleh pegawai penguat kuasa JAWI ketika
menginap di sebuah hotel dekat sini.
Pada
Januari lalu, pasangan terbabit menarik balik tuntutan saman mereka
terhadap JAWI dan enam pihak lain secara sukarela, atas alasan mempunyai
masalah kewangan serta tidak mahu meneruskan saman itu.
Semua
defendan ialah dua pegawai penguat kuasa JAWI; Ketua Penolong Pengarah
Kanan Bahagian Penguatkuasaan JAWI; Pengarah JAWI; JAWI; Jabatan Perdana
Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketujuh
Bagaimanapun,
Asyraf berkata, tidak dapat dibuktikan sama ada perbuatan pasangan itu
didalangi kumpulan tertentu yang berjuang untuk memalukan Jabatan Agama
Islam Negeri.
“Apa-apapun
harus difahami bahawa Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri ada garis
panduan dan prosedur operasi atau SOP khas dalam melakukan sebarang
operasi pencegahan maksiat.
“Umumnya,
penguat kuasa hanya akan bertindak setelah menerima aduan orang ramai
dan bukannya kaedah memecah pintu berasaskan andaian dan prasangka
sebagaimana yang dicanang-canangkan,” katanya.
Justeru,
Asyraf mengingatkan semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menuduh
Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri menguatkuasakan enakmen jenayah
syariah mengikut acuan sendiri tanpa prosedur dan mengambil kira prinsip
serta nilai Islam, seperti konsep ‘tajassus’.
Katanya,
walaupun ada kelemahan dan kesilapan dalam kes terpencil, tidak wajar ia
dijadikan hujah untuk menghapuskan operasi pencegahan maksiat secara
menyeluruh.
“Pencegahan
Maksiat juga merupakan prinsip Amar Makruf Nahi Mungkar yang menjadi
sebahagian tanggungjawab pemerintah dalam memenuhi maqasid syariah.
“Ini selaras dengan kaedah fekah Saddu Zariah (menutup pintu ke arah kemaksiatan),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan