Selasa, 9 Oktober 2018

Guan Eng: Kalau HARAPAN kalah Mahathir pun masuk penjara

 
   
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak menolak kemungkinan Tun Dr Mahathir Mohamad disumbat ke penjara sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) tewas dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Kata Lim, ia berdasarkan tindakan polis yang dilaporkan memanggil isteri perdana menteri itu, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, pada Januari lalu.

“(Kebanyakan pemimpin HARAPAN) masuk penjara pun dah. Bukan saja Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya pun dah.

“Yang belum masuk Dr Mahathir, dan saya rasa kalau tak menang kali ini (PRU ke-14 lalu) beliau pun kena masuk (penjara) juga.

“Tak akan kita nak lupa Tun Siti Hasmah diminta ambil keterangan polis. Kalau sana (BN) menang sama-sama kita meringkuk dalam penjara,” katanya.

Lim berkata demikian ketika berucap sempena Ceramah Mega Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia di Waterfront, Port Dickson, semalam.

Awal Januari lalu, polis dilaporkan mengambil keterangan daripada Dr Siti Hasmah berhubung dakwaan pembabitan beliau dalam sebuah perhimpunan yang dikenali sebagai 'Wanita Bantah Politik Toksik', tahun lalu.

Dalam himpunan itu, Siti Hasmah dilaporkan memberi ucapan ringkas, yang menggesa wanita memainkan peranan mereka menghentikan politik toksik di negara ini.

Bagaimanapun, Lim berkata dengan kuasa Tuhan dan rakyat semua itu tidak terjadi.

“Tapi mujurlah kuasa rakyat dan Tuhan menentukan kita menang dan pulangkan kuasa kepada rakyat,” katanya.

Oleh itu, Lim berkata adalah penting bagi kepimpinan HARAPAN menjalankan tugas dan amanah yang diberikan rakyat dalam mentadbir kerajaan hari ini yang lebih bersih dan adil.

“Dr Mahathir cakap kita mesti bersih, kalau rasuah tiada maaf bagi mu. Tetapi kalau bersih, macam mana susah pun kita akan dapat cari wang untuk bayar gaji dan pencen anggota kerajaan.

“Ini pendekatan yang kita akan ambil sepanjang masa. Jadi kerajaan bukan mudah. Tapi kita ikhlas, bersih dan nak tubuhkan sebuah negara baru, bukan untuk diri sendiri tapi untuk rakyat dan anak-anak kita,” katanya.

Lim pernah di penjara setahun pada tahun 1989 atas kesalahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri semasa Ops Lalang.

Pada 1994, Setiausaha Agung DAP itu dipenjarakan sekali lagi selama 18 bulan, di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, kerana didakwa menyebarkan maklumat palsu mengenai kejadian rogol yang membabitkan seorang ahli politik kanan Umno dari Melaka.


Tiada ulasan: