Harussani gesa Mujahid jumpa agamawan sebelum keluar kenyataan

BANGI
– Kenyataan menteri agama Malaysia, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkaitan
kes khalwat atau aktiviti menyalahi ajaran Islam adalah urusan peribadi
dan tidak boleh diganggu oleh pihak berkuasa agama Islam, terus mendapat
reaksi negatif alim ulama.
Terbaharu, Mufti Perak, Tan Sri
Harussani Zakaria menasihatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) itu, supaya bertemu dan berbincang
dengan agamawan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan
berhubung penguatkuasaan jenayah khalwat.
Beliau berkata, undang-undang pencegahan
maksiat yang dilaksanakan di negara ini sudah menjangkau lebih 50 tahun
dan sebagai seorang menteri, Mujahid perlu lebih memahami undang-undang
berkenaan.
“Orang berkhalwat selalunya buat
ditempat tertutuplah, kalau ada kesalahan (maksiat) di hotel boleh kita
masuk, itu pencegah maksiat buat.
“Jadi kalau tak boleh tegah biarlah
orang buat maksiat, tak perlu undang-undanglah, kita laksanakan
undang-undang ini sudah lama, tiada masalah pun,” katanya.
Memetik laporan Sinar Harian, Harussani berkata, amalan mencegah maksiat sepatutnya dilaksanakan di mana-mana kawasan sekalipun.
“Kita yang salah jika kita tidak cegah,
kita kena cegah maksiat di mana pun. Saya rasa kita jangan buat
kenyataan di surat khabar tak tentu pasal mari kita bincang dahulu pergi
ke jabatan agama, adakan mesyuarat macam mana, jadi kalau kita buat tak
tentu pasal ia jadi celarulah,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas
kenyataan Mujahid dalam temu bual eksklusif dengan akhbar The Star,
yang melaporkan menteri berkenaan sebagai berkata, tiada lagi ketukan
pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika
mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.
Mujahid menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.
Dalam temu bual itu, Mujahid turut
dilaporkan mengutuk tindakan memecahkan pintu untuk menahan pesalah
khalwat dan berharap ia tidak akan berlaku dalam pembaharuan yang akan
dilakukan nanti.
“Penguatkuasaan khalwat ini telah
disalahgunakan dan dieksploitasi dalam beberapa kes. Mereka (pegawai)
tidak sepatutnya mengganggu ruang lingkup peribadi seseorang individu,”
kata Mujahid.
Pada 2015 lalu, satu kumpulan yang
kononnya dianggotai individu Melayu profesional dan menggelar diri
mereka sebagai G25, mempersoalkan jenayah khalwat di Malaysia serta
mencadangkan supaya undang-undang berkaitan khalwat dipinda dan hukuman
mengenainya dimansuhkan.
Kumpulan itu juga mahu sebuah
jawatankuasa perunding ditubuhkan bagi membincangkan untuk meminda atau
memansuhkan beberapa undang-undang syariah.
Jurucakap kumpulan itu, Datuk Noor
Farida Ariffin dipetik sebagai berkata, dengan berpandukan pada prinsip
Perlembagaan, G25 menentang sebarang hukuman terhadap perbuatan khalwat
jika dilakukan di rumah persendirian kerana itu adalah hak dan privasi
setiap individu.
Beliau berkata, perbuatan khalwat di
tempat peribadi adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah
kecuali jika dilakukan di kawasan awam, namun Malaysia adalah
satu-satunya negara yang menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan itu.
“Ini bertentangan dengan Islam. Apa
orang buat di dalam rumah sendiri, anda tidak boleh ketuk pintu pada
pukul 3 pagi dan menahan mereka, ini bertentangan dengan prinsip
perundangan Islam, dosa peribadi adalah antara diri sendiri dengan
Allah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan