Isnin, 4 Disember 2017

Umno parti paling lama pegang kuasa di dunia - Ku Nan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Faktor utama kelangsungan Umno sejak 71 tahun lalu adalah kerana sayap Wanita parti, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
 
Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata pergerakan itu merupakan tulang belakang Umno seperti yang pernah diakui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.
 
“Daripada kira-kira 3.6 juta anggota parti, separuh adalah wanita. Umno berusia 71 tahun dan kita sebenarnya adalah parti yang paling lama memegang kuasa di dunia,” katanya berucap pada jamuan malam bersempena Persidangan Antarabangsa Wanita Dalam Politik (WIPKL) 2017, di sini malam ini.
 
Turut hadir Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
 
Persidangan yang dianjurkan oleh Wanita Umno itu diadakan bersempena Perhimpunan Agung Umno, yang akan dirasmikan oleh Najib selaku Presiden Umno, esok.
 
Tengku Adnan berharap peserta persidangan akan terus menghidupkan jaringan tersebut serta saling berkongsi pandangan dan bertukar idea mengenai pelbagai isu apabila persidangan itu berakhir.
 
Persidangan yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra itu dijangka menampilkan penceramah dari 18 negara dan 27 parti politik termasuk dari Amerika Syarikat, Uganda, Palestin, Mauritius dan Kyrgyzstan.
 
Antara penceramah terbabit ialah Ketua Whip Kerajaan Uganda Ruth Nankabirwa; Menteri Tenaga Manusia kedua Singapura Josephine Teo dan Pengarah Serantau Wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik Dr Miwa Kato.
 
Persidangan yang dijangka disertai 1,000 perwakilan itu akan membincangkan tentang kepentingan kesaksamaan substantif dan kepimpinan wanita dalam dunia yang terkesan dengan Revolusi Industri 4.0.
 
Ia juga akan menyediakan peluang kepada perwakilan untuk menjalinkan hubungan baharu selain menggalakkan perbincangan mengenai isu-isu wanita dan politik.
 
 

Tiada ulasan: