KUALA LUMPUR: Faktor utama kelangsungan Umno sejak 71 tahun lalu adalah
kerana sayap Wanita parti, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor.
Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata pergerakan itu
merupakan tulang belakang Umno seperti yang pernah diakui oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.
“Daripada kira-kira 3.6 juta anggota parti, separuh adalah wanita. Umno
berusia 71 tahun dan kita sebenarnya adalah parti yang paling lama
memegang kuasa di dunia,” katanya berucap pada jamuan malam bersempena
Persidangan Antarabangsa Wanita Dalam Politik (WIPKL) 2017, di sini
malam ini.
Turut hadir Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Persidangan yang dianjurkan oleh Wanita Umno itu diadakan bersempena
Perhimpunan Agung Umno, yang akan dirasmikan oleh Najib selaku Presiden
Umno, esok.
Tengku Adnan berharap peserta persidangan akan terus menghidupkan
jaringan tersebut serta saling berkongsi pandangan dan bertukar idea
mengenai pelbagai isu apabila persidangan itu berakhir.
Persidangan yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra itu
dijangka menampilkan penceramah dari 18 negara dan 27 parti politik
termasuk dari Amerika Syarikat, Uganda, Palestin, Mauritius dan
Kyrgyzstan.
Antara penceramah terbabit ialah Ketua Whip Kerajaan Uganda Ruth
Nankabirwa; Menteri Tenaga Manusia kedua Singapura Josephine Teo dan
Pengarah Serantau Wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Asia dan
Pasifik Dr Miwa Kato.
Persidangan yang dijangka disertai 1,000 perwakilan itu akan
membincangkan tentang kepentingan kesaksamaan substantif dan kepimpinan
wanita dalam dunia yang terkesan dengan Revolusi Industri 4.0.
Ia juga akan menyediakan peluang kepada perwakilan untuk menjalinkan
hubungan baharu selain menggalakkan perbincangan mengenai isu-isu wanita
dan politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.