KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan akan melakukan segala yang terdaya untuk memastikan rakyat Malaysia di Korea Utara pulang ke tanah air dengan selamat.
“Saya faham perasaan dan kebimbangan keluarga serta kenalan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara,” katanya menerusi blog NajibRazak.com, malam ini.
Najib menghadiri mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini, petang ini, setibanya dari Jakarta selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Persatuan Negara-Negara Pesisir Lautan Hindi (IORA).
“Sekembalinya dari Jakarta, saya telah mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara.
“Mesyuarat ini turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan,” katanya.
Katanya, beliau telah diberi taklimat terperinci mengenai situasi semasa dan fokus utama kerajaan Malaysia ialah untuk memastikan keselamatan serta membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di sana. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan