PETALING JAYA:
Seorang akauntan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi
pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang kanak-kanak perempuan dengan
cara merakam video ke arah seluar dalam mangsa, empat hari lepas.
Leong Kem Soon, 27, mengaku tidak
bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan terhadapnya di hadapan
Majistret Salamiah Salleh.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan
dengan niat untuk mengaibkan kehormatan seorang murid berusia 12 tahun
dengan cara merakam video menggunakan telefon bimbit miliknya ke arah
seluar dalam mangsa di sebuah kedai buku di Ikano, Mutiara Damansara di
sini pada 9.30 Malam, 4 Mac lepas.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut
Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum
lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya R.
Puspharasi tidak menawarkan sebarang jaminan tetapi tertuduh, yang
diwakili peguam Muhammad Syazwan Hasan, merayu supaya dibenarkan diikat
jamin dengan jumlah yang minimum atas alasan dia bekerja dan penanggung
utama keluarga.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 April untuk sebutan semula kes.— Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan