Ia selepas Najib berkata TN50 yang diumumkannya lebih meluas daripada wawasan bekas perdana menteri itu.
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini mempersoalkan kenyataan perdana menteri yang menyifatkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) lebih bersifat mengambil kira pandangan semua lapisan masyarakat.
Sebaliknya, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Tariq Ismail berkata Dasar Transformasi Nasional (DTN) yang dibawa Datuk Seri Najib Razak hanya menguntungkan sekumpulan kecil rakyat berada.
“DTN sebenarnya telah berjaya membentuk kelas elit di dalam masyarakat dengan sengaja memanipulasi pencapaian pendapatan tinggi yang disasarkan, seterusnya melebarkan lagi jurang kekayaan di kalangan rakyat Malaysia,” kata Tariq.
Berucap di Dewan Rakyat hari ini, Najib berkata TN50, gagasan yang diumumkannya Oktober lalu bagi mencorakkan hala tuju negara sehingga 2050, bukan bermaksud untuk menggantikan Wawasan 2020.
Wawasan 2020 ialah visi diperkenalkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kini pengerusi PPBM.
Najib berkata TN50 ialah “visi yang lebih luas serta mencakupi segenap segmen dan dimensi dalam kehidupan” sebuah negara berjaya.
Tariq mempertahankan Wawasan 2020 dengan berkata ia merupakan usaha “bertempur dengan kemiskinan”.
“Pembangunan memerlukan supaya sumber utama sekatan terhadap kebebasan dihapuskan – kemiskinan, kezaliman, kekurangan peluang ekonomi, sekatan sosial secara sistematik, pengabaian kemudahan awam, dan ketidakupayaan bertoleransi atau negara yang banyak menindas.
“Ini semua dicapai dengan Wawasan 2020,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan